Tuesday, May 4, 2010

Pengajaran Daripada Allah Untuk Manusia..



(٤٠) ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬ وَجَـٰهِدُواْ بِأَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (٤١)

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

Surah At-Taubah : 41

Permulaan perjalanan pagi Sabtu, 1 Mei 2010 baru-baru ini ke Lumut atas tujuan membawa pelajar-pelajar Pasti Kawasan Ipoh Timur menyertai Pertandingan Sukan Pasti Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan dirasakan cukup baik. Perjalanan ke Lumut turut disertai oleh kenderaan sahabat yang lain dan juga ibu bapa pelajar yang berkesempatan untuk menyertai program sukan tersebut.

Suasana pagi yang redup diiringi dengan hujan yang tidak berapa lebat merancakkan lagi perbualan saya denga sahabat yang bertindak sebagai pemandu kenderaan. Kesempatan yang ada diambil sebaik mungkin untuk lebih mengenali sahabat yang baru dikenali dan apa yang lebih penting dengan adanya komunikasi yang baik akan mengelakkan rasa mengantuk kepada si pemandu yang perlu memandu hampir dua jam.

Selepas melalui lampu isyarat di kawasan Batu Gajah Perdana, mata saya tiba-tiba terarah kepada kelibat seorang penunggang motosikal yang cuba memintas sebuah lori treler di sebelah kiri. Pada mulanya tiada sebarang kejadian pelik yang berlaku. Keadaan berubah sebaliknya, apabila saya mula melihat penunggang motosikal tersebut sudah tergelincir masuk ke sempadan tepi jalan yang berlongkang kecil dan berhampiran dengan penghadang jalan.

Jelas kelihatan penunggang motosikal tersebut sudah tidak lagi mampu mengawal kenderaannya. Jantungku mula berdegup kencang. Sesuatu yang buruk pasti berlaku, dan......hanya beberapa saat selepas itu, apa yang difikirkan telah berlaku. Penunggang motosikal tersebut telah melanggar penghadang jalan dan jatuh ke tanah, motosikalnya pula terus berjalan melintas di hadapan kenderaan kami tanpa penunggang dan melanggar penghadang jalan yang bertentengan. Jika diperhatikan keadaan sewaktu perlanggaran tersebut, saya menjangkakan pasti kecedaraan yang dialami oleh mangsa pasti agak parah atau lebih teruk......

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الٓمٓ (١) أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ (٢) وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ (٣
)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Alif, Laam, Miim. (1) Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (3)

Surah Al-Ankabut : 1-3

Nasib penunggang tersebut agak baik kerana tidak tercampak di tengah jalan kerana pada waktu tersebut dia berada berhampiran dengan lori treler. Tanpa melengahkan masa, kami memberhentikan kenderaan. Begitu juga dengan beberapa kenderaan yang lain. Memadangkan mangsa masih boleh bercakap, kenderaan yang menyertai konvoi kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke tempat program memandangkan program hampir bermula.

Secara jujurnya, inilah pengalaman pertama saya menyaksikan kemlangan di hadapan mata dan merupakan antara orang yang pertama berada di lokasi kejadian. Melalui komunikasi ringkas dengan mangsa, kami mengesyaki pergelangan tangannya telah patah kerana kebas. Terdapat juga kecederaan lain di beberapa anggota badan mangsa. Menyaksikan mangsa mengerang kesakitan dan mula meminta air menjadikan saya lebih bimbang memikirkan kejadian yang lebih buruk. Ambulan daripada Hospital Batu Gajah yang telah dihubungi dirasakan begitu lambat untuk tiba. Untuk mengambil tindakan sendiri, sememangnya saya dan sahabat agak kurang arif, bimbang keadaan mangsa akan menjadi lebih parah. Apa yang mampu kami lakukan adalah cuba menenangkan masa dan mengajarnya mengucap serta sentiasa mengingati Allah.

'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul', itu lah selayaknya kata-kata yang mampu diungkapkan apabila melihat kejadian ini. Tidak berapa lama setelah pihak polis tiba. ambulan juga tiba. Petugas hospital mula menjalankan tanggungjawab, raungan dan rintihan mangsa semakin kuat kedengaran apabila pergelangan tangan kirinya dipegang. Ketika itu, saya dapat melihat dengan jelas keadaan pergelangan tangannya yang telah patah impak dariada hentaman kuat ke penghadalang jalan yang sememangya di hasilkan daripada besi keras.

Setelah mangsa selamat menaiki ambulan, saya mula bergerak ke tempat program di Lumut. Kejadian yang berlaku waktu itu, masih terbayang-bayang di fikiran. Beberapa pengajaran yang boleh di ambil daripada peristiwa ini adalah:

1) Bagi penunggang motosikal, cuba elakkan memotong kenderaan yang besar seperti lori di sebelah kirinya kerana kebarangkalian untuk pemandu lori itu menyedari kehadiran anda amat kurang.

2) Tidak menunggang motosikal terlalu rapat ke bahu jalan kerana kemungkinan anda untuk terbabas ke bahu jalan yang agak dalam adalah tinggi terutamanya setelah terkena tempias udara yang dihasilkan oleh kenderaan besar yang melintasi anda.

3) Sentiasa menyebut perkataan-perkataan yang baik dalam kehidupan, kerana kata-kata ini akan dilafazkan secara sendirinya mengikut kebiasaan anda sekiranya ada ditimpa oleh sesuatu perkara yang diluar jangka seperti terkejut dan sakit. Amatlah malangnya sekiranya dalam keadaan kesusahan ada masih lagi menyebut perkataan-perkataan yang tidak baik.

4) Amalkan sikap bantu-membantu dan prihatin terhadap nasib orang lain. Sentiasa ingat, 'mungkin hari ni nasib orang lain yang tidak baik, tetapi mungkin pada satu hari nanti kita juga bakal menerima ujian yang sama atau lebih teruk'.

5) Tidak melakukan tindakan yang tergesa-gesa terhadap mangsa kerana mungkin bakal menyebabkan keadaan yang lebih buruk dan parah. Apa yang boleh dilakukan adalah sentiasa cuba menenangkan mangsa dan mengajarnya mengucap sekiranya nampak tanda-tanda ajalnya yang hampir tiba.

6) Kita seharusnya yakin dengan ketentuan Allah s.w.t, sekiranya sesuatu yang tidak baik berlaku terhadap diri kita, terima lah dengan berlapang dada kerana sudah tentu ada hikmah di sebaliknya dan sesungguhnya Allah s.w.t Maha Luas Ilmu PengetahuanNya.

Kontijen Pasti Ipoh Timur pulang awal kerana agak kurang cemerlang dalam acara futsal dan bola jaring yang dipertandingkan. Walaupun kalah dalam pertandingan sukan, ketahuilah adik-adik, anak-anak pelajar Pasti, dirimu tetap menang dalam sudut ilmu pengetahuan agama yang kamu perolehi ketika kamu masih lagi di usia yang mentah. Di usia ini, kamu telah mampu menewaskan abang, kakak malah ibu bapamu sendiri apabila mulutnya mampu menuturkan beberapa hadis dan ayat Al-Quran dengan lancar.

Hatiku turut tersentak dan merasa pilu tak kala melihat perkembangan, beberapa bangunan Pasti dan keadaan kelengkapannya yang daif dan uzur. Demi kerana ilmu agama yang ingin dikutip, ibu bapa masih mampu memilih untuk menghantar anak mereka ke Pasti walaupun di sekitarnya terdapat banyak pusat pengajian pra sekolah lain yang lebih selesa dan canggih. Marilah sama-sama kita membantu Pasti sebgai satu usaha untuk melahirkan pemimpin masa depan yang memahami agama Islam secara keseluruhannya dan juga melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dengan penuh amanah...

Template by:
Free Blog Templates