Monday, April 12, 2010

Sukarnya Mengucapkan Terima Kasih



'Man, ni duit belanja bulan ni, jangan lupa belajar elok-elok ye, kamulah harapan untuk mengubah nasib keluarga kita', kedengaran suara lembut si ibu tua memberikan nasihat pada anak lelakinya yang ingin pulang menyambung pengajian di Universiti.

Man yang sedari tadi asyik memerhatikan suasana hiruk pikuk di Perhentian Bas Pudu Raya, lantas mengambil wang belanja tersebut dengan kasar tanpa sedikit pun memandang wajah ibunya bahkan tidak sekali-kali sudi untuk menuturkan ucapan terima kasih kepada si ibu tunggal ini yang bersusah payah mencari nafkah.

Si ibu yang sudah sedia maklum akan perangai anaknya itu, hanya mampu membiarkan sahaja anaknya melayan emosinya sendiri. Ingin diajak berbicara, bimbang diherdik semula oleh anaknya. Bukan sekali dua si ibu menerima herdikan daripada anaknya bahkan setiap kali diajak untuk berbicara pasti telinga si ibu bingit dengan suara si anak yang mengherdiknya walaupun beliau telah cuba sebaik mungkin untuk berbicara dengan lemah lembut. Telah banyak air matanya yang tumpah dek kerana perbuatan anaknya yang selama ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Setelah menunggu beberapa ketika, kedengaran suara nyaring pemandu bas memanggil para penumpang untuk menaiki bas bagi meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Man yang sejak sedari awal tidak mempedulikan ibunya segera mengangkat beg dan berjalan untuk menaiki bas tanpa menghulurkan salam memohon kemaafan daripada ibunya walaupun ibunya terlebih dahulu menyua tangan mengharapkan agar disambut oleh anak harapannya ini. Mengapakah Man begitu membenci ibunya? Apakah salah seorang ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan sehingga sanggup si anak ini memperlakukan ibunya sedemikian rupa?

Man tersenyum puas apabila bas yang dinaikinya mula meninggalkan Perhentian Bas Pudu Raya dan yang lebih penting meninggalkan orang yang banyak mengusutkan pemikirannya. Manakan tidak, setiap kali Man pulang ke kampung, ibunya tidak henti-henti memberi nasihat kepadanya. Man berasa bosan dengan sikap ibunya yang seolah-olah menganggap dirinya seperti budak kecil yang selayaknya dipimpin tangan untuk bergerak ke mana-mana. Man merasakan banyak lagi perkara besar yang perlu diselesaikannya, dengan tugasan pengajian yang perlu disiapkan dengan cepat, gerak kerja persatuan yang perlu dibereskan dan banyak lagi..'Ahhh...susahnya apabila terpaksa melayan kehendak orang lain ni,'getus hati Man.

Setiap kali pulang ke kampung, Man sudah muak melihat wajah ibunya. Jangankan berbicara, bertentangan mata sekalipun dirasakan cukup berat bagi Man. Pada perhitungannya, ibunya inilah yang suatu ketika dahulu pernah menyekat usahanya untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atas alasan perlu bekerja untuk membantu menanggung pesekolahan adik-adiknya yang lain. Tapi Man kuatkan jugak hati dan menyambung pengajiannya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Sejak dari itu, Man mula menaruh dendam terhadap perbuatan ibunya. Kepulangannya ke kampung hanya sekadar memenuhi syarat untuk menghabiskan cuti semester yang diperuntukkan. Di rumah, Man lebih selesa untuk duduk berseorangan di dalam bilik tanpa sedikit pun mempedulikan keadaan ibunya.

Man berasa bangga apabila orang mula melihat keputusan yang beliau ambil selama ini telah membuahkan hasil yang baik. Baginya, pedulikan pandangan orang lain asalkan dirinya sendiri telah merasa puas dan gembira, itu sudah memadai. Man merasakan ada kerja penting yang perlu dia lakukan dalam hidupnya dan tiada sesiapa yang akan boleh menghalang atau menyekat segala keputusan yang telah dirancang dan dibuat olehnya.

Man yang pada mulanya bercadang untuk mengulangkaji sedikit pelajaran, akhirnya terlena dengan keselesaan bas yang dinaikinya....Tiba-tiba Man merasakan dirinya berada di sebuah tempat yang tidak lagi asing bagi dirinya, di kiri kanannya penuh dengan buku rujukan, sejadah yang digunakan untuk beribadah di waktu siang dan malam hari juga terlipat rapi dalam almari disebelah katilnya. Ya, tidak asing lagi, inilah bilik tidur di kampungku. Tetapi kenapa aku masih di sini sedangkan aku sudah menaiki bas ke Universiti sebentar tadi.

Sedang Man termanggu-manggu berfikir, kedengaran pula suara orang membaca Surah Yasin di sudut ruang tamu rumahnya...Kedengaran jugak suara esak-tangis adik beradiknya yang lain..Man turut melihat sekujur tubuh yang dibalut dengan kain putih berada di ruang tersebut. Apa semua ini,.siapa pula yang meninggal dan dikafankan di rumah? Pandangan Man yang sedang terbaring di katilnya seolah-olah mampu menembusi dinding bilik tidurnya tanpa sebarang halangan..Man cuba bangkit tapi semua anggota badannya terasa berat.

Sikap ingin tahu Man juga meronta-ronta mohon diberikan penjelasan. Man cuba bersuara untuk memanggil ibu dan adik beradiknya yang lain tetapi suaranya seakan-akan tersekat dikerongkong sahaja. Man sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa, hanya sekadar matanya yang mampu terus memerhatikan suasana yang berlaku tanpa mendapat sebarang penjelasan.Suara orang membaca Surah Yasin telah berhenti, Man lihat seoarang demi seorang adiknya bergerak menuju ke arah mayat tersebut dan mengucup pipinya..Ah...apa hubungan adik beradikku dengan arwah tersebut. Man cuba sedaya upaya untuk menajamkan pandangan matanya dan tak kala itu...suaranya nyaring menyebut...IBUUUUUUU!!!! Air matanya mula berjujuran tanpa henti..

Man merasakan bahunya diusik dan digoyang-goyang oleh seseorang. Dia tersentak dan tersedar dengan esak tangisnya yang masih belum reda..Man memerhatikan keadaan sekeliling. Kelihatan mata-mata penumpang bas memandang kehairanan ke arah dirinya. Man segera mengesat air matanya yang sedari tadi berjujuran jatuh membasahi buku pelajarannya. Baru Man tersedar yang dia hanya sekadar bermimpi, perjalanan menuju ke Universiti masih berbaki beberapa jam.

Tanpa perlu kepada sebarang bentuk motivasi dan nasihat, Man mula tersedar akan segala kesilapan yang pernah dilakukannya selama ini. Man terlalu ego dengan apa yang dia miliki. Baginya buat apa kita perlu bersusah payah menjaga perasaan orang lain sedangkan perasaan kita sendiri terluka. Man merasakan dia perlu sentiasa kuat dan bertindak dengan cepat untuk memenuhi segala perancangan yang telah dibuat. Kini Man sedar bahawa kejayaaan yang dia miliki selama ini, bukan semata-mata atas usahanya sendiri, banyak pihak yang sebenarnya menyumbang kepada kejayaannya.

Sejak daripada kejadian yang tidak disangka-sangka itu, Man telah mula menunjukkan perubahan yang drastik. Hatinya sentiasa berkobar-kobar untuk pulang ke kampung. Apa yang lebih penting, Man perlu memohon kemaafan daripada ibunya. Telah banyak dosa dan kesalahan yang telah dia lakukakan. Alhamdulillah Man bertuah kerana masih berpeluang untuk memohon keampunannya daripadanya ibunya...Man berazam untuk tidak sekali-kali melukakan hati ibunya lagi dan akan sentiasa berkongsi susah senang dengan ibunya yang tersayang.

Hari ini saya menulis bertujuan untuk memberi peringatan kepada diri sendiri dan orang lain yang kadang kalanya mudah lupa diri apabila telah berada di puncak kejayaan. Ada antara kita yang cukup sukar untuk melafazkan ucapan terima kasih kepada orang lain dan lebih teruk lagi sentiasa berburuk sangka terhadap orang lain. Apa lah salahnya untuk seorang anak mengucapkan terima kasih atas sebarang pemberian ibu bapanya, juga suami isteri yang sentiasa menghargai segala tindakan pasangannya, majikan yang tidak terlalu ego untuk menguntumkan senyuman dengan ucapan terima kasih tak kala anak buahnya selesai melaksanakan kerja dan banyak lagi.

Jadikanlah diri kita sentiasa disenangi oleh orang yang berada disekitar kita. Cuba sedaya upaya untuk menggembirakan diri mereka. InsyaAllah sekiranya mereka gembira kita akan turut menikmati kegembiraannya....Kita cukup sukar untuk berubah sehinggalah kita ditimpa sesuatu musibah yang tidak disangka-sangka..Kita juga sukar untuk berubah sekiranya masih menyimpan dendam kesumat terhadap seseorang sebelum ini. Gunakan lah ilmu, kedudukan dan saki baki kekuatan kita untuk beramal ibadah sebagai satu senjata untuk kita mengubah diri sendiri serta orang lain ke arah yang lebih baik..Supaya hidup kita sentiasa di berkati Allah s.w.t..Siiru a'labarakatillah..

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates