Friday, April 30, 2010

Antara Visi & Pelaksanaan


'Shaikh, apa perancangan lepas habis kursus Biofarmasi & Biofarmaseutikal ni, nak kerja apa?', terpacul soalan daripada sahabatku yang agak sukar untuk ku jawab kerana aku masih belum membuat persediaan rapi untuk menjengah ke alam kerjaya. Pada waktu tersebut kami sedang mengadakan lawatan ke beberapa jabatan/agensi kerajaan yang menjalankan penyelidikan seperti FRIM, RRIM (LGM) dan lain-lain bagi memenuhi kursus jangka pendek selama tiga bulan selepas menghadapi peperiksaan akhir pengajian di USM, Pulau Pinang pada tahun 2007.

'Tah la, kalau ikutkan memang aku minat nak jadi pendidik..mungkin dah latar belakang keluarga sendiri yang memang ramai bekerja dalam bidang pendidikan kot...lagipun masa lepas habis matrik, kebanyakkan bidang yang aku pilih, memang dalam jurusan pendidikan tapi tak dapat, dapat pilihan terakhir, Sains Biologi, kalau nak jadi cikgu jugak, kena amik KPLI la,' ujarku seraya menjawab persoalannya. Pada perkiraanku bidang yang aku ceburi ini semasa di Universiti amat berbeza dengan minat sebenar tetapi sentiasa memikirkan akan ada hikmah disebaliknya. 'Tidak semestinya sesuatu yang kita benci itu, tidak baik untuk kita dan tidak semestinya apa yang kita sukai itu, baik untuk kita, sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mengetahui'.

'Tapi kan, kalau dapat kerja kat pejabat yang ada bilik khas, ada ramai pembantu dan ada pemandu, best jugak kan,'sambil tersenyum aku menyambung bual bicaraku yang pada ketika itu tidak lebih kepada angan-angan semata dan sekadar gurauan. Sahabatku hanya tersenyum dan mengangguk kepala tanda faham. Dalam hatiku sebenarnya mula terdetik rasa bimbang kerana aku masih belum membuat perancangan rapi untuk menerjah ke alam pekerjaan yang hanya tinggal sekitar sebulan sahaja lagi maklumlah sebelum ini aku tidak pernah mempunyai pengalaman bekerja dengan mana-mana pihak. Tambahan pulak dengan statistik pengangguran graduan universiti yang semakin meningkat dari semasa ke semasa pasti akan lebih menambahkan persaingan untuk mendapatkan perkerjaan.

Ketika itu, hanya beberapa permohonan kerja yang telah ku isi dan dihantar melalui internet. Usaha yang nampak tidak bersungguh-sungguh ini menyebabkan aku tidak berapa yakin akan memperoleh pekerjaan yang baik tambahan pula keputusanku yang tidak begitu cemerlang. Dengan keizinan Allah dan bantuan sahabat-sahabat, aku berjaya juga menerima kedua-dua kerja yang kupohon dan menghadiri sesi temuduga sebelum acara konvokesyen berlangsung. Setelah hampir tiga tahun meninggalkan alam pengajian di USM, aku teringat semula perbualanku dengan sahabatku seperti di atas.

Alhamdulillah kini angan-angan telah bertukar menjadi kenyataan dan juga realiti dengan keizinan Allah s.w.t. Persoalannya di sini adakah aku hanya cukup untuk berasa selesa berada di kedudukan ini dan membuat rutin kerja biasa serta menerima gaji di hujung bulan? Ramai di antara kita yang hanya pandai memegang atau mengambil kedudukan tapi tidak ramai yang pandai mengisi fungsi kedudukan tersebut semaksima mungkin ataupun yang lebih tepat menggunakan kedudukan untuk membawa manusia lebih dekat kepada Allah s.w.t.

Sebagai contoh berapa ramai antara kita yang memegang jawatan yang tinggi dan mempunyai kakitangan yang ramai di pejabat mampu menegur kakitangannya yang melakukan kesalahan seperti membuat kerja sambil lewa, tidak menunaikan solat, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, tidak amanah dan sebagainya. Juga berapa ramai pasangan suami isteri yang mengikat tali perkahwinan hanya sekadar pada nama tanpa memahami akan fungsinya dan bermacam-macam contoh lain. Tidakkah kita sedar, implikasi daripada perkara ini akan menghasilkan natijah yang tidak baik pada masa yang akan datang.

Kenapa semua perkara ini berlaku? Antara salah satu faktornya adalah masyarakat hari ini kebanyakannya telah diterapkan dan disematkan dengan semangat 'individualistik' ataupun suka melakukan kerja secara bersendirian tidak kira dalam aspek ibadah, pemakanan, kesihatan dan sebagainya. Sikap suka melakukan kerja secara bersendirian ini dibimbangi akan menjadikan seseorang itu bertukar menjadikan seseorang yang hanya pentingkan diri sendiri. Apa yang penting, dirinya berjaya tanpa sebarang halangan bukannya apa yang penting kerjasama...Ada juga yang cukup sukar untuk melaksanakan tugas secara beramai-ramai dan lebih suka menyendiri...Mungkin baik untuk masa-masa yang tertentu tetapi bukan sepanjang masa..

Perkara ini juga merupakan salah satu cara yang digunakan oleh pihak anti Islam untuk melemahkan umat Islam. Sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa memikirkan nasib umat Islam, mereka bukanlah daripada golonganku. Saidana Umar Al-Khattab pula pernah berkata :'Tiada Islam kecuali melalui jemaah (kumpulan), tiada jemaah kecuali melalui kepimpinan dan tiada kepimpinan kecuali melalui ketaatan'.

Tidak mungkin atau cukup sukar seseorang yang mempunyai visi atau cita-cita yang cukup tinggi untuk dicapai berusaha untuk melaksanakannya seorang diri. Sebagai contoh, seorang ketua di sesebuah organisasi mempunyai visi untuk menjadikan organisasinya sebuah organisasi terulung di dunia dalam segala bidang. Semangatnya cukup tinggi untuk mencapai visi tersebut.

Di biliknya penuh dengan kata-kata penaik semangat, buku rujukan dan sebagainya yang pada perkiraannya merupakan cara untuk terbaik untuk mencapai visinya. Rutinnya pada setiap hari hanya sekadar masuk ke biliknya di pejabat dan keluar ketika ingin makan, solat dan pulang tanpa melakukan sebarang perbincangan dengan kakitangannya. Adakah kakitangannya akan mengetahui visinya tersebut dan akan melaksanakannya?

Kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulullah selaku seorang pemimpin mempunyai cita-cita atau visi yang begitu jelas dan seterusnya dapat dilaksanakan dengan cukup berkesan sehingga mencapai kejayaan. sebagai contoh, diriwayatkan dalam peperangan Khandaq ataupun dikenali juga sebagai peperangan Ahzab.

Rasulullah s.a.w selaku pemimpin sanggup turun bersama-sama dengan para sahabat untuk menyiapkan parit sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Salman Al-Farisi bagi persediaan menghadapi musuh Islam. Dalam kerja pembinaan parit ini, Rasulullah s.a.w sempat memberikan motivasi kepada para sahabat dengan menunjukkan visinya yang cukup jelas. Sambil Rasulullah s.a.w cuba memecahkan batu sehingga terpercik pancaran api, Rasulullah s.a.w menyatakan dengan cukup yakin bahawa Islam akan menakluki Parsi, Islam juga akan menakluki Rom.

Cita-cita dan visi yang diungkapkan Rasulullah s.a.w cukup tinggi memandangkan pada ketika itu, Rom dan Parsi merupakan antara kuasa besar dunia tetapi para sahabat tidak pernah sedikit pun berasa ragu dengan kata-kata Rasulullah s.a.w. Akhirnya Islam berjaya juga menakluk dua kuasa besar dunia ini. Bagaimana caranya? Tidak lain dan tidak bukan adalah hasil didikan ataupun tarbiyyah secara langsung yang diberikan Rasulullah s.a.w kepada para sahabat disertakan dengan pergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t.

Justeru, tidak kira di mana kita berada, cubalah maksimakan fungsi kedudukan kita sebaik mungkin dalam usaha membawa diri dan masyarakat lebih mendekati Allah s.w.t. Tidak salah untuk mempunyai cita-cita yang tinggi kerana ianya dibenarkan dalam Islam selagi tidak menyalahi syara' tetapi mesti dengan perancangan dan pelaksanaan yang betul, bukan sekadar angan-angan Mat Jenin. Memanjat pokok kelapa, kelapa tak dapat, kepala yang terhempas ke tanah... Lakukan kerja secara berjemaah kerana sesungguhnya tidak mungkin kita akan berjaya mencapai visi ataupun cita-cita yang tinggi secara berseorangan. Jangan mudah berasa selesa kerana keselesaan yang berpanjangan juga akan membawa bahaya ibarat monyet yang jatuh daripada pokok apabila diulit dengan bayu yang bertiup sepoi-sepoi tetapi akan berpengang erat pada batang pokok ketika angin kencang membadai.

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates