Friday, April 30, 2010

Antara Visi & Pelaksanaan


'Shaikh, apa perancangan lepas habis kursus Biofarmasi & Biofarmaseutikal ni, nak kerja apa?', terpacul soalan daripada sahabatku yang agak sukar untuk ku jawab kerana aku masih belum membuat persediaan rapi untuk menjengah ke alam kerjaya. Pada waktu tersebut kami sedang mengadakan lawatan ke beberapa jabatan/agensi kerajaan yang menjalankan penyelidikan seperti FRIM, RRIM (LGM) dan lain-lain bagi memenuhi kursus jangka pendek selama tiga bulan selepas menghadapi peperiksaan akhir pengajian di USM, Pulau Pinang pada tahun 2007.

'Tah la, kalau ikutkan memang aku minat nak jadi pendidik..mungkin dah latar belakang keluarga sendiri yang memang ramai bekerja dalam bidang pendidikan kot...lagipun masa lepas habis matrik, kebanyakkan bidang yang aku pilih, memang dalam jurusan pendidikan tapi tak dapat, dapat pilihan terakhir, Sains Biologi, kalau nak jadi cikgu jugak, kena amik KPLI la,' ujarku seraya menjawab persoalannya. Pada perkiraanku bidang yang aku ceburi ini semasa di Universiti amat berbeza dengan minat sebenar tetapi sentiasa memikirkan akan ada hikmah disebaliknya. 'Tidak semestinya sesuatu yang kita benci itu, tidak baik untuk kita dan tidak semestinya apa yang kita sukai itu, baik untuk kita, sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mengetahui'.

'Tapi kan, kalau dapat kerja kat pejabat yang ada bilik khas, ada ramai pembantu dan ada pemandu, best jugak kan,'sambil tersenyum aku menyambung bual bicaraku yang pada ketika itu tidak lebih kepada angan-angan semata dan sekadar gurauan. Sahabatku hanya tersenyum dan mengangguk kepala tanda faham. Dalam hatiku sebenarnya mula terdetik rasa bimbang kerana aku masih belum membuat perancangan rapi untuk menerjah ke alam pekerjaan yang hanya tinggal sekitar sebulan sahaja lagi maklumlah sebelum ini aku tidak pernah mempunyai pengalaman bekerja dengan mana-mana pihak. Tambahan pulak dengan statistik pengangguran graduan universiti yang semakin meningkat dari semasa ke semasa pasti akan lebih menambahkan persaingan untuk mendapatkan perkerjaan.

Ketika itu, hanya beberapa permohonan kerja yang telah ku isi dan dihantar melalui internet. Usaha yang nampak tidak bersungguh-sungguh ini menyebabkan aku tidak berapa yakin akan memperoleh pekerjaan yang baik tambahan pula keputusanku yang tidak begitu cemerlang. Dengan keizinan Allah dan bantuan sahabat-sahabat, aku berjaya juga menerima kedua-dua kerja yang kupohon dan menghadiri sesi temuduga sebelum acara konvokesyen berlangsung. Setelah hampir tiga tahun meninggalkan alam pengajian di USM, aku teringat semula perbualanku dengan sahabatku seperti di atas.

Alhamdulillah kini angan-angan telah bertukar menjadi kenyataan dan juga realiti dengan keizinan Allah s.w.t. Persoalannya di sini adakah aku hanya cukup untuk berasa selesa berada di kedudukan ini dan membuat rutin kerja biasa serta menerima gaji di hujung bulan? Ramai di antara kita yang hanya pandai memegang atau mengambil kedudukan tapi tidak ramai yang pandai mengisi fungsi kedudukan tersebut semaksima mungkin ataupun yang lebih tepat menggunakan kedudukan untuk membawa manusia lebih dekat kepada Allah s.w.t.

Sebagai contoh berapa ramai antara kita yang memegang jawatan yang tinggi dan mempunyai kakitangan yang ramai di pejabat mampu menegur kakitangannya yang melakukan kesalahan seperti membuat kerja sambil lewa, tidak menunaikan solat, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, tidak amanah dan sebagainya. Juga berapa ramai pasangan suami isteri yang mengikat tali perkahwinan hanya sekadar pada nama tanpa memahami akan fungsinya dan bermacam-macam contoh lain. Tidakkah kita sedar, implikasi daripada perkara ini akan menghasilkan natijah yang tidak baik pada masa yang akan datang.

Kenapa semua perkara ini berlaku? Antara salah satu faktornya adalah masyarakat hari ini kebanyakannya telah diterapkan dan disematkan dengan semangat 'individualistik' ataupun suka melakukan kerja secara bersendirian tidak kira dalam aspek ibadah, pemakanan, kesihatan dan sebagainya. Sikap suka melakukan kerja secara bersendirian ini dibimbangi akan menjadikan seseorang itu bertukar menjadikan seseorang yang hanya pentingkan diri sendiri. Apa yang penting, dirinya berjaya tanpa sebarang halangan bukannya apa yang penting kerjasama...Ada juga yang cukup sukar untuk melaksanakan tugas secara beramai-ramai dan lebih suka menyendiri...Mungkin baik untuk masa-masa yang tertentu tetapi bukan sepanjang masa..

Perkara ini juga merupakan salah satu cara yang digunakan oleh pihak anti Islam untuk melemahkan umat Islam. Sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa memikirkan nasib umat Islam, mereka bukanlah daripada golonganku. Saidana Umar Al-Khattab pula pernah berkata :'Tiada Islam kecuali melalui jemaah (kumpulan), tiada jemaah kecuali melalui kepimpinan dan tiada kepimpinan kecuali melalui ketaatan'.

Tidak mungkin atau cukup sukar seseorang yang mempunyai visi atau cita-cita yang cukup tinggi untuk dicapai berusaha untuk melaksanakannya seorang diri. Sebagai contoh, seorang ketua di sesebuah organisasi mempunyai visi untuk menjadikan organisasinya sebuah organisasi terulung di dunia dalam segala bidang. Semangatnya cukup tinggi untuk mencapai visi tersebut.

Di biliknya penuh dengan kata-kata penaik semangat, buku rujukan dan sebagainya yang pada perkiraannya merupakan cara untuk terbaik untuk mencapai visinya. Rutinnya pada setiap hari hanya sekadar masuk ke biliknya di pejabat dan keluar ketika ingin makan, solat dan pulang tanpa melakukan sebarang perbincangan dengan kakitangannya. Adakah kakitangannya akan mengetahui visinya tersebut dan akan melaksanakannya?

Kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulullah selaku seorang pemimpin mempunyai cita-cita atau visi yang begitu jelas dan seterusnya dapat dilaksanakan dengan cukup berkesan sehingga mencapai kejayaan. sebagai contoh, diriwayatkan dalam peperangan Khandaq ataupun dikenali juga sebagai peperangan Ahzab.

Rasulullah s.a.w selaku pemimpin sanggup turun bersama-sama dengan para sahabat untuk menyiapkan parit sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Salman Al-Farisi bagi persediaan menghadapi musuh Islam. Dalam kerja pembinaan parit ini, Rasulullah s.a.w sempat memberikan motivasi kepada para sahabat dengan menunjukkan visinya yang cukup jelas. Sambil Rasulullah s.a.w cuba memecahkan batu sehingga terpercik pancaran api, Rasulullah s.a.w menyatakan dengan cukup yakin bahawa Islam akan menakluki Parsi, Islam juga akan menakluki Rom.

Cita-cita dan visi yang diungkapkan Rasulullah s.a.w cukup tinggi memandangkan pada ketika itu, Rom dan Parsi merupakan antara kuasa besar dunia tetapi para sahabat tidak pernah sedikit pun berasa ragu dengan kata-kata Rasulullah s.a.w. Akhirnya Islam berjaya juga menakluk dua kuasa besar dunia ini. Bagaimana caranya? Tidak lain dan tidak bukan adalah hasil didikan ataupun tarbiyyah secara langsung yang diberikan Rasulullah s.a.w kepada para sahabat disertakan dengan pergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t.

Justeru, tidak kira di mana kita berada, cubalah maksimakan fungsi kedudukan kita sebaik mungkin dalam usaha membawa diri dan masyarakat lebih mendekati Allah s.w.t. Tidak salah untuk mempunyai cita-cita yang tinggi kerana ianya dibenarkan dalam Islam selagi tidak menyalahi syara' tetapi mesti dengan perancangan dan pelaksanaan yang betul, bukan sekadar angan-angan Mat Jenin. Memanjat pokok kelapa, kelapa tak dapat, kepala yang terhempas ke tanah... Lakukan kerja secara berjemaah kerana sesungguhnya tidak mungkin kita akan berjaya mencapai visi ataupun cita-cita yang tinggi secara berseorangan. Jangan mudah berasa selesa kerana keselesaan yang berpanjangan juga akan membawa bahaya ibarat monyet yang jatuh daripada pokok apabila diulit dengan bayu yang bertiup sepoi-sepoi tetapi akan berpengang erat pada batang pokok ketika angin kencang membadai.

Tuesday, April 27, 2010

Matahari Terbit Dari Sebelah Barat?

Sememangnya kita pernah mendengar Hadis Rasulullah s.a.w : 'Salah satu tanda besar kedatangan Hari Kiamat adalah apabila matahari terbit dari sebelah Barat'... Adakah pernyataan ini merujuk kepada bentuk fizikal matahari itu sendiri sepertimana yang boleh kita lihat di siang hari ataupun merujuk kepada sesuatu yang lain. Ada juga yang membuat andaian bahawa matahari itu merujuk kepada agama Islam yang mana digambarkan pada akhir zaman itu Islam akan berkembang di negara sebelah Barat. Sekiranya kita melihat realiti pada hari ini, adakah perkara ini sedang berlaku?. Adakah agama Islam itu akan berkembang di Amerika, Britain, Perancis dan lain-lain? Kenapa bukan di rantau Asia ataupun lebih khusus di Malaysia?

Memetik kata daripada seorang ustaz dalam majlis ilmu baru-baru ini, Islam akan berkembang di negara yang mana penganut agama Islam itu benar-benar ingin mengamalkan ajaran Islam itu secara syumul atau sepenuhnya. Sejarah telah membuktikan bagaimana Islam itu gemilang di negara yang berbeza. Apabila satu ketika Islam gemilang di negara Arab, kemudiannya ke India, dan ke China dan seterusnya.

Sekiranya kita lihat pada masa kini terdapat juga negara Arab yang sudah tunduk kepada kuasa Barat tanpa sedikit pun memikirkan nasib sengsara saudara seIslamnya yang tinggal berhampiran. Mereka lebih memikirkan tentang pembangunan daripada sudut material dengan berbangga apabila tertegaknya bangunan pencakar langit. Sedangkan sekiranya kita mengambil iktibar daripada tanda-tanda kedatangan hari kiamat, perlumbaan membina bangunan pencakar langit ini merupakan salah satu daripada tanda kecil kedatangan hari kiamat.

Di sini saya sertakan sedikit perkongsian tentang maklumat pergerakan planet yang sudah mulai berubah arah putarannya. Boleh nilai sendiri sama ada maklumat ini benar ataupun salah. Apa yang penting, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi kedatangan hari kehancuran ini ataupun apa yang lebih dekat dan pasti adalah kiamat kecil bagi diri kita sendiri iaitu hari kematian. Tepuk dada tanya iman..Sudah cukupkah ilmu kita, sudah sempurnakah amalan kita, bagaimana kita habiskan masa dan banyak lagi perkara yang seharusnya di ambil kira tetapi selalu dilupakan ataupun sengaja buat-buat lupa. Maaf di atas paparan artikel yang kurang jelas, sila klik pada artikel untuk paparan yang lebih jelas...Selamat berfikir dan bertindak.


Monday, April 26, 2010

Kepentingan Ilmu


Berapa ramai antara kita yang sentiasa merasakan diri sudah cukup dengan ilmu yang ada sehinggakan begitu sukar untuk menjejakkan kaki ke majlis-majlis ilmu terutamanya mendapatkan ilmu yang bakal mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Hadith :Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”(Riwayat al-Bazzar)

HuraianPengajaran hadith :

Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu.

Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :

1. Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain.

2. Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu).

3. Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.

4. Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.

Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.

Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Monday, April 12, 2010

Sukarnya Mengucapkan Terima Kasih



'Man, ni duit belanja bulan ni, jangan lupa belajar elok-elok ye, kamulah harapan untuk mengubah nasib keluarga kita', kedengaran suara lembut si ibu tua memberikan nasihat pada anak lelakinya yang ingin pulang menyambung pengajian di Universiti.

Man yang sedari tadi asyik memerhatikan suasana hiruk pikuk di Perhentian Bas Pudu Raya, lantas mengambil wang belanja tersebut dengan kasar tanpa sedikit pun memandang wajah ibunya bahkan tidak sekali-kali sudi untuk menuturkan ucapan terima kasih kepada si ibu tunggal ini yang bersusah payah mencari nafkah.

Si ibu yang sudah sedia maklum akan perangai anaknya itu, hanya mampu membiarkan sahaja anaknya melayan emosinya sendiri. Ingin diajak berbicara, bimbang diherdik semula oleh anaknya. Bukan sekali dua si ibu menerima herdikan daripada anaknya bahkan setiap kali diajak untuk berbicara pasti telinga si ibu bingit dengan suara si anak yang mengherdiknya walaupun beliau telah cuba sebaik mungkin untuk berbicara dengan lemah lembut. Telah banyak air matanya yang tumpah dek kerana perbuatan anaknya yang selama ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Setelah menunggu beberapa ketika, kedengaran suara nyaring pemandu bas memanggil para penumpang untuk menaiki bas bagi meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Man yang sejak sedari awal tidak mempedulikan ibunya segera mengangkat beg dan berjalan untuk menaiki bas tanpa menghulurkan salam memohon kemaafan daripada ibunya walaupun ibunya terlebih dahulu menyua tangan mengharapkan agar disambut oleh anak harapannya ini. Mengapakah Man begitu membenci ibunya? Apakah salah seorang ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan sehingga sanggup si anak ini memperlakukan ibunya sedemikian rupa?

Man tersenyum puas apabila bas yang dinaikinya mula meninggalkan Perhentian Bas Pudu Raya dan yang lebih penting meninggalkan orang yang banyak mengusutkan pemikirannya. Manakan tidak, setiap kali Man pulang ke kampung, ibunya tidak henti-henti memberi nasihat kepadanya. Man berasa bosan dengan sikap ibunya yang seolah-olah menganggap dirinya seperti budak kecil yang selayaknya dipimpin tangan untuk bergerak ke mana-mana. Man merasakan banyak lagi perkara besar yang perlu diselesaikannya, dengan tugasan pengajian yang perlu disiapkan dengan cepat, gerak kerja persatuan yang perlu dibereskan dan banyak lagi..'Ahhh...susahnya apabila terpaksa melayan kehendak orang lain ni,'getus hati Man.

Setiap kali pulang ke kampung, Man sudah muak melihat wajah ibunya. Jangankan berbicara, bertentangan mata sekalipun dirasakan cukup berat bagi Man. Pada perhitungannya, ibunya inilah yang suatu ketika dahulu pernah menyekat usahanya untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atas alasan perlu bekerja untuk membantu menanggung pesekolahan adik-adiknya yang lain. Tapi Man kuatkan jugak hati dan menyambung pengajiannya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Sejak dari itu, Man mula menaruh dendam terhadap perbuatan ibunya. Kepulangannya ke kampung hanya sekadar memenuhi syarat untuk menghabiskan cuti semester yang diperuntukkan. Di rumah, Man lebih selesa untuk duduk berseorangan di dalam bilik tanpa sedikit pun mempedulikan keadaan ibunya.

Man berasa bangga apabila orang mula melihat keputusan yang beliau ambil selama ini telah membuahkan hasil yang baik. Baginya, pedulikan pandangan orang lain asalkan dirinya sendiri telah merasa puas dan gembira, itu sudah memadai. Man merasakan ada kerja penting yang perlu dia lakukan dalam hidupnya dan tiada sesiapa yang akan boleh menghalang atau menyekat segala keputusan yang telah dirancang dan dibuat olehnya.

Man yang pada mulanya bercadang untuk mengulangkaji sedikit pelajaran, akhirnya terlena dengan keselesaan bas yang dinaikinya....Tiba-tiba Man merasakan dirinya berada di sebuah tempat yang tidak lagi asing bagi dirinya, di kiri kanannya penuh dengan buku rujukan, sejadah yang digunakan untuk beribadah di waktu siang dan malam hari juga terlipat rapi dalam almari disebelah katilnya. Ya, tidak asing lagi, inilah bilik tidur di kampungku. Tetapi kenapa aku masih di sini sedangkan aku sudah menaiki bas ke Universiti sebentar tadi.

Sedang Man termanggu-manggu berfikir, kedengaran pula suara orang membaca Surah Yasin di sudut ruang tamu rumahnya...Kedengaran jugak suara esak-tangis adik beradiknya yang lain..Man turut melihat sekujur tubuh yang dibalut dengan kain putih berada di ruang tersebut. Apa semua ini,.siapa pula yang meninggal dan dikafankan di rumah? Pandangan Man yang sedang terbaring di katilnya seolah-olah mampu menembusi dinding bilik tidurnya tanpa sebarang halangan..Man cuba bangkit tapi semua anggota badannya terasa berat.

Sikap ingin tahu Man juga meronta-ronta mohon diberikan penjelasan. Man cuba bersuara untuk memanggil ibu dan adik beradiknya yang lain tetapi suaranya seakan-akan tersekat dikerongkong sahaja. Man sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa, hanya sekadar matanya yang mampu terus memerhatikan suasana yang berlaku tanpa mendapat sebarang penjelasan.Suara orang membaca Surah Yasin telah berhenti, Man lihat seoarang demi seorang adiknya bergerak menuju ke arah mayat tersebut dan mengucup pipinya..Ah...apa hubungan adik beradikku dengan arwah tersebut. Man cuba sedaya upaya untuk menajamkan pandangan matanya dan tak kala itu...suaranya nyaring menyebut...IBUUUUUUU!!!! Air matanya mula berjujuran tanpa henti..

Man merasakan bahunya diusik dan digoyang-goyang oleh seseorang. Dia tersentak dan tersedar dengan esak tangisnya yang masih belum reda..Man memerhatikan keadaan sekeliling. Kelihatan mata-mata penumpang bas memandang kehairanan ke arah dirinya. Man segera mengesat air matanya yang sedari tadi berjujuran jatuh membasahi buku pelajarannya. Baru Man tersedar yang dia hanya sekadar bermimpi, perjalanan menuju ke Universiti masih berbaki beberapa jam.

Tanpa perlu kepada sebarang bentuk motivasi dan nasihat, Man mula tersedar akan segala kesilapan yang pernah dilakukannya selama ini. Man terlalu ego dengan apa yang dia miliki. Baginya buat apa kita perlu bersusah payah menjaga perasaan orang lain sedangkan perasaan kita sendiri terluka. Man merasakan dia perlu sentiasa kuat dan bertindak dengan cepat untuk memenuhi segala perancangan yang telah dibuat. Kini Man sedar bahawa kejayaaan yang dia miliki selama ini, bukan semata-mata atas usahanya sendiri, banyak pihak yang sebenarnya menyumbang kepada kejayaannya.

Sejak daripada kejadian yang tidak disangka-sangka itu, Man telah mula menunjukkan perubahan yang drastik. Hatinya sentiasa berkobar-kobar untuk pulang ke kampung. Apa yang lebih penting, Man perlu memohon kemaafan daripada ibunya. Telah banyak dosa dan kesalahan yang telah dia lakukakan. Alhamdulillah Man bertuah kerana masih berpeluang untuk memohon keampunannya daripadanya ibunya...Man berazam untuk tidak sekali-kali melukakan hati ibunya lagi dan akan sentiasa berkongsi susah senang dengan ibunya yang tersayang.

Hari ini saya menulis bertujuan untuk memberi peringatan kepada diri sendiri dan orang lain yang kadang kalanya mudah lupa diri apabila telah berada di puncak kejayaan. Ada antara kita yang cukup sukar untuk melafazkan ucapan terima kasih kepada orang lain dan lebih teruk lagi sentiasa berburuk sangka terhadap orang lain. Apa lah salahnya untuk seorang anak mengucapkan terima kasih atas sebarang pemberian ibu bapanya, juga suami isteri yang sentiasa menghargai segala tindakan pasangannya, majikan yang tidak terlalu ego untuk menguntumkan senyuman dengan ucapan terima kasih tak kala anak buahnya selesai melaksanakan kerja dan banyak lagi.

Jadikanlah diri kita sentiasa disenangi oleh orang yang berada disekitar kita. Cuba sedaya upaya untuk menggembirakan diri mereka. InsyaAllah sekiranya mereka gembira kita akan turut menikmati kegembiraannya....Kita cukup sukar untuk berubah sehinggalah kita ditimpa sesuatu musibah yang tidak disangka-sangka..Kita juga sukar untuk berubah sekiranya masih menyimpan dendam kesumat terhadap seseorang sebelum ini. Gunakan lah ilmu, kedudukan dan saki baki kekuatan kita untuk beramal ibadah sebagai satu senjata untuk kita mengubah diri sendiri serta orang lain ke arah yang lebih baik..Supaya hidup kita sentiasa di berkati Allah s.w.t..Siiru a'labarakatillah..

Template by:
Free Blog Templates