Thursday, February 4, 2010

Pasangan Yang Mengidam Syurga Allah s.w.t...


2 Februari 2010 (7.30 pagi)- Seusai memastikan rumah berada dalam keadaan yang selamat, saya meneruskan langkah menghidupkan enjin kereta untuk mula bergerak menuju ke pejabat. Jarak rumah dari pejabat yang tidak sampai 5 kilometer hanya mengambil masa kurang dari sepuluh minit untuk saya tiba di sana.

Sejak akhir-akhir ini, saya mula tertarik untuk memilih siaran radio IKIM F.M kerana terdapat banyak ayat suci Al-Quran, bacaan hadis, tazkirah, motivasi dan perbincangan yang membawa manfaat. Sebelum ini, saya seringkali memutarkan cd nasyid atau ayat suci Al-Quran berulang-ulang kali ketika dalam perjalanan.

Ketika punat radio kereta mula ditekan pada pagi itu, telinga saya mula menangkap suara seorang penceramah yang merupakan antara penceramah kegemaran saya iaitu Ustaz Zawawi Jusoh, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Keperibadian beliau saya lihat saling tidak tumpah dengan keperibadian abangnya yang juga merupakan seorang ustaz dan guru 'homeroom' saya ketika saya belajar di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Berang, Terengganu.

Walaupun saya tidak berpeluang mendengar dari awal tazkirah pada pagi tersebut dan juga tidak mengetahui apa tajuk perbincangannya, saya sekadar ingin berkongsi tentang sedikit perkara yang saya dengar dan faham. Menyampaikan perkara yang baik itu amatlah di tuntut selaras Sabda Rasulullah s.a.w : Sampaikan lah dariku walaupun satu ayat.

'Diriwayatkan pada suatu ketika Rasulullah s.a.w berbaring di atas ribaan isteri baginda yakni Saidatina Aisyah r.anha. Saidatina Aisyah r.anha merasa bangga kerana beliau merupakan isteri terakhir dan termuda yang terpilih untuk menjadi isteri kepada kekasih Allah s.w.t itu. Sambil beliau membelai Rasulullah s.a.w, beliau terfikir adakah beliau akan berpeluang untuk menjadi penghuni syurga bersama dengan Rasulullah s.a.w. Hatinya mula tersentuh dan air mata mula menitik tak kala mengimbau kembali akan kisah-kisah di mana suami isteri dipisahkan kepada dua tempat yang berbeza di hari akhirat nanti. Seorang berpeluang menikmati ganjaran syurga dan seorang lagi menikmati azab neraka.

Kisah Nabi Luth dan Nabi Nuh yang terpaksa berhadapan dengan isteri yang derhaka, firaun yang menganggap dirinya tuhan dengan isterinya yang memilih untuk beriman kepada Allah sentiasa bermain di fikiran beliau. Walaupun Saidatina Aisyah r.anha digelar sebagai Ummahatul Mukminin iaitu ibu kepada orang mukmin hatinya tetap merasa bimbang akan nasib yang bakal diterimanya di hari pembalasan nanti. Tak kala menyedari isterinya berada dalam keadaan dukacita, Rasulullah s.a.w bertindak menghiburkan hati isterinya yang turut digelar Humaira', si pipi merah yang comel.

Melihat realiti pada masa ini, berapa ramai antara suami atau isteri yang mempunyai perasaan seperti ini, bersikap khauf yakni takut akan azab Allah s.a.w dan ju' yakni mengharapkan rahmat serta ganjaran syurga Allah s.w.t. Dan berapa ramai juga yang bersikap khauf dan ju' terhadap Allah s.w.t berusaha untuk merealisasikannya dengan amal perbuatan. Jumlah kes penceraian yang didaftarkan di Pejabat Agama di seluruh negara menunjukkan bilangan yang tinggi dan membimbangkan. Institusi rumah tangga seolah-olah dianggap sebagai barang mainan yang begitu mudah untuk di bina dan begitu mudah juga untuk dileraikan seperti permainan lego.

Ada yang hanya sempat menikmati hubungan suami isteri sekitar, 1 bulan , 5 tahun, 10 tahun bahkan ada juga yang lebih pelik apabila ikatan yang terbina terlerai dengan begitu mudah tak kala usianya baru mencecah 12 hari dan tak terkecuali pelik apabila ikatan padu yang terbina berpuluh-puluh tahun sehingga berpeluang memperolehi cucu serta cicit juga turut terlerai. Kenapa semua ini boleh berlaku?

Apabila ikatan perkahwinan yang tidak di dasarkan kepada tujuan untuk mencari redha Allah semata-mata tetapi hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu juga turut menyumbang kepada rapuhnya ikatan yang terbina. Memetik antara lirik lagu dendangan kumpulan nada murni, 'pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih'. Sekiranya tidak menggunakan pandangan hati yang bersih, akal sering memberontak tak kala hajat yang kita harapkan bakal dipenuhi oleh pasangan kita tidak tercapai.

Sesungguhnya alam rumahtangga bukan lah satu perkara yang boleh dipandang sebelah mata dan di anggap enteng. Penyatuan dua insan yang berbeza kejadian dan sikap memerlukan kesabaran dan pemahaman dalam jangka masa yang lama. Sekiranya individu yang hanya berkahwin untuk memenuhi nafsu, ingin mengejar harta yang bertimbun, mengejar kedudukan dan pangkat tanpa di dasari dengan tujuan mencari redha Allah, dibimbangi hubungan yang terbina tidak kekal lama.

Justeru, beruntunglah bagi pasangan yang memiliki sikap seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan isteri baginda yang mana sentiasa bersikap khauf dan ju' kepada Allah s.w.t. Alangkah bahagianya apabila kita pasangan suami isteri dipertemukan oleh Allah s.w.t di syurga kelak. Janganlah kita bersikap lemah dalam mengikuti sunnah Rasulullah s.aw...memang kita jauh sekali dengan keperibadian Rasulullah s.a.w, isterinya dan para sahabat tapi usaha yang kita lakukan sedikit demi sedikit harus dipandang sebagai satu perkara yang mulia. Suami dan isteri harus saling bantu membantu dalam mencapai usaha ini. Sikap lelaki dan perempuan yang berbeza menjadikan kita saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Sekadar renungan.

Template by:
Free Blog Templates