Wednesday, January 27, 2010

Hargai Jasa Ayah & Ibu

(Ayah, Ibu & Salah Seorang Cucunya)

14 Januari 2010 (sekitar 9.40 pagi) - Perbincangan rancak saya dengan individu yang meminta khidmat nasihat di salah sebuah kebun getah di Meru, Perak Darul Ridzuan terganggu dengan getaran telefon bimbit yang sememangnya di letakkan dalam mood 'senyap' ketika waktu bekerja. Poket seluar di seluk untuk mengambil telefon bimbit. Jelas tertera nama kakak sulung saya yang pada kebiasaannya teramat jarang untuk menghubungi saya tambahan pula ketika waktu pejabat.

Sebelum kekunci menjawab panggilan ditekan, kepala saya telah mula menjangkakan ada sesuatu yang tidak kena. Tekaan saya ternyata berasas apabila saya mula berbicara dengan kakak sulung yang rumahnya hanya terletak sekitar 4 kilometer daripada rumah ibu dan ayah. Suara kakak sulung yang kedengaran lain seperti biasa mula meningkatkan hormon adrenalin dalam badanku yang akhirnya menyebabkan jantung berdenyut dengan pantas.

'Mie, mak tak de telefon ke? Berdoa la banyak-banyak, pagi tadi abah tak sedar, mulut dah berbuih, sekarang ada kat klinik Maran, mungkin sekejap lagi akan di bawa ke Hospital Kuantan,' begitu lah antara butir percakapan kakak yang sememangnya sedari kecil ku panggil dengan gelaran Kak Long.

Perasaan sebak mula menjalar di segenap tubuh. Mata terasa panas dan pedih. Manakan tidak, sudah hampir seminggu saya tidak berkesempatan untuk berbicara dengan ayah. Tiba-tiba perkhabaran yang tidak dijangka ini menjengah ruang gegendang telinga. Emosi di kawal sebaik mungkin. Kakitangan dan pelanggan sudah mula mengesyaki akan sesuatu yang buruk telah berlaku kepada keluargaku. Lantas saya memohon maaf dan mohon untuk segera pulang menjenguk ayah di Maran.

Dalam, perjalananan balik ke pejabat, sekali lagi telefon bimbit saya bergetar, sekali lagi nama Kak Long terpapar di skrin telefon bimbit..Hati kecil saya berdoa, 'Ya Allah, aku mohon kepadaMu jangan lah Engkau uji aku dengan sesuatu yang belum mampu aku terima, SesungguhNya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang'.

Dengan nada yang lemah saya menjawab panggilan tersebut, 'Macam mana keadaan abah sekarang?'.Lantas Kak Long menjawab,'Mie, awak amik la cuti, abah dah lemah sangat tu, sekarang on the way ke Hospital Kuantan',..Saya yang sememangnya sedari awal telah mengambil keputusan untuk mengambil cuti kecemasan terus bergegas mengisi borang dan memaklumkan tentang perkara ini kepada Pengarah di Pejabat. Beliau berpesan supaya saya mengawal emosi dan membawa kenderaan dengan baik. Saranannya saya balas dengan anggukan menandakan faham.

Saya terus pulang ke rumah untuk bersiap. Memandangkan isteri saya berada di Penang, saya mengambil keputusan mengambilnya terlebih dahulu. Kereta di pandu agak laju tetapi masih dalam keadaan yang terkawal. Sepanjang perjalanan, saya tidak lekang untuk berdoa supaya Allah s.w.t memberikan kesempatan untuk saya berbicara dan menumpang kasih lagi dengan ayah.. Setelah tiba di Penang sekitar jam 12.45 tengah hari, saya terus berpatah balik menuju ke Hospital Kuantan, Pahang. Setiba di Tapah, badan mula terasa penat.

Manakan tidak jadual yang agak padat sebelum tu (11-12/1/20101 berada di Padang Terap, Alor Setar dan Sg. Petani, Kedah atas urusan kerja) seterusnya pada malam 12/1/2010 (9.30 malam) pula terus memandu ke Kuala Lumpur sekembalinya dari Sg. Petani untuk menghadiri mesyuarat pada 13/1/2010. Alhamdulillah, saya bersyukur di kurniakan isteri yang pada pandangan saya seorang yang boleh dikatakan agak mahir memandu serta tidak banyak kerenah untuk mengambil giliran memandu bagi memberi sedikit ruang waktu merehatkan badan dan minda.

Sepanjang perjalanan, saya sentiasa mendapatkan perkembangan tentang ayah daripada adik beradik yang kebanyakkannya berada di Pahang. Alhamdulillah, ayah sudah semakin stabil. Sekitar jam 9.00 malam, kami tiba di rumah kakak di Taman Sg. Isap, Kuantan, Pahang. Memandangkan masa melawat telah tamat dan menerima nasihat emak supaya melawat pada pagi hari berikutnya, kami mengambil keputusan untuk berbual bersama ahli keluarga dan berehat.

15 Januari 2010 (sekitar jam 9.00 pagi)-Wad 5 B Hospital Kuantan, Pahang saya jejaki bersama emak dan isteri. Jelas terpancar wajah ceria ayah yang kelihatan sudah semakin pulih menyambut ketibaan kami. Alhamdulillah, syukur Ya Allah kerana masih memberiku peluang untuk berbakti kepada ayah dan ibu, masih banyak perkara yang belum saya laksanakan untuk mereka. Kami tidak berada lama di sana kerana waktu tersebut bukan lah waktu melawat dan doktor sedang melakukan pemeriksaan kepada para pesakit. Kami mengambil keputusan untuk pulang dan akan datang melawat semula pada sebelah petang.

16 Januari 2010 (sekitar jam 4.00 petang)-Alhamdulillah, ayah sudah dibenarkan pulang, saya bersama emak menguruskan urusan untuk ayah mengambil ubat dan keluar daripada Hospital Kuantan. Ayah sudah semakin sihat walaupun keadaannya masih agak lemah. Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah mertua pada petang tersebut. Sebelum pulang, saya sempat berbicara dan menasihatkan ayah agar menjaga kesihatan dan pemakanannya memandangkan ayah telah berumur 64 tahun dan menghidap banyak penyakit.

Mulai detik ini, saya sentiasa berhubung dengan ayah dan ibu, walaupun tinggal berjauhan, dekatkan hati kita dengan ibu dan ayah. Jangan sekali-kali kita sakitkan hati mereka dengan berlaku kasar dan sebagainya walaupun kadang kalanya ada sikap mereka yang tidak menyenangkan kita. Banyakkan belajar untuk bersabar. Kadang-kadang kita seolah-olah malas untuk melayan mereka ketika pulang ke rumah. Sedarlah dengan perbuatan kita itu akan menyebabkan terguris hati ibu dan ayah kita seterusnya mendatangkan kemurkaan Allah. Justeru berbicara lah dengan mereka dengan kata-kata yang baik dan menyenangkan.

Janganlah kita menunggu sehingga nasi menjadi bubur. Apabila mereka sudah tiada, pada ketika itu lah baru kita bersungguh-sungguh menyesali perbuatan lampau kita. Ingat lah keredhaan Allah itu datangnya daripada keredhaan ibu bapa. Bagi para suami, usah lah terlalu di lebihkan permintaan si isteri sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu dan ayah kerana perlu di ingatkan bahawa anak lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap ibu dan ayahnya sendiri. Bagi para isteri pula, walaupun tanggungjawab yang utama selepas berumah tangga adalah kepada suami, jangan lah pula di kesampingkan jasa ibu dan ayah yang telah melahirkan serta membesarkan sehingga menjadi orang yang berguna. Yang paling baik, suami dan isteri hendak lah sentiasa berbincang serta bersedia sekiranya di satu masa nanti tergalas tanggungjawab untuk menjaga ayah dan ibu yang telah tua dan sakit di rumah kita sendiri. InsyaAllah, sekiranya kita sentiasa berbuat baik dengan ibu bapa, Allah akan mempermudahkan jalan kehidupan kita..

Renungi lah kisah di bawah. Jangan lah kita menjadi seperti mereka. Mohon agar dijauhkan Allah s.w.t dengan tingkah laku seperti ini.

“ANAK tak guna,” seranah seorang lelaki separuh umur sambil menghempaskan senaskhah akhbar lama ke meja kayu di sebuah kedai kopi di bandar Mersing, Johor, baru-baru ini.

Lelaki berkain sarung separas keting dan berbaju-T lusuh itu segera membayar kopi O yang masih berbaki suku cawan dan menaiki motosikalnya sambil membonceng budak lelaki berumur lingkungan lima tahun sebelum mereka menghilang entah ke mana. Di atas meja di kedai kopi itu, muka depan akhbar berkenaan memaparkan tajuk ‘Buang Ayah Tepi Jalan’ bertarikh 13 Januari 2010.

Kemarahan lelaki itu adalah satu cetusan daripada kemarahan ribuan rakyat negara ini apabila mengenangkan nasib malang dideritai seorang bapa baru menjalani rawatan jantung, Abdul Rahman Talib, 57, yang dibuang anak sendiri. Abdul Rahman mendakwa dibuang anaknya bersama bungkusan pakaian di tepi jalan raya berhadapan Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Ahmad, Kangar pada petang 7 Januari lalu, walaupun dia baru keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani rawatan jantung.

Kononnya, anak lelakinya yang tinggal di sebuah taman perumahan dekat bandar itu bertindak demikian selepas mendapat tekanan daripada isterinya yang enggan menerima semula kehadiran bapa mentuanya di atas beberapa alasan termasuk perbuatan tidak senonoh. Lebih menyedihkan sehari selepas berita Abdul Rahman disiarkan, anaknya, Suhairi, 28, dilaporkan mengaku tindakan meninggalkan bapanya di Kangar bagi menjaga keharmonian rumah tangga kerana kehadiran bapa di rumah itu menyebabkan dia bermasalah dengan isteri.

Namun, alasan itu belum cukup melukakan hati setiap bapa di tanah air berbanding kata-kata pedas anak ‘bertuah’ Abdul Rahman, “Lagipun, dia memang suka merempat dan hidup sebatang kara.” Sesungguhnya setiap perkataan yang dihambur anak Abdul Rahman itu amat tajam hingga mampu meluluhkan hati dan menitiskan air mata kita.

'Hargai Jasa Ayah & Ibu Kita Selagi Mereka Masih Ada'..Berbakti lah kepada mereka sebaik mungkin..

Tuesday, January 26, 2010

Sesaat Yang Berlalu....


Tik, tik, tik, tik......tanpa penat, jarum jam terus berputar, kalau tak kerana kehabisan bateri atau kerosakan enjin yang mengerakkannya saban waktu, sudah pasti jam ini akan terus memainkan perananannya tanpa jemu. Saya yang memang sudah terbiasa sejak kecil menggunakan alat penunjuk waktu ini, agak merasa janggal sekiranya jam yang biasa terlekat rapi di tangan tidak dapat dipakai atas sebab yang tidak dapat dielakkan...

Ingin ku kejar masa yang berlalu tapi mustahil akan berlaku, sehebat mana pun kita, masa yang berlalu akan terus jauh dan semakin jauh meninggalkan kita.. Memetik kata-kata Imam Al-Ghazali,'Perkara yang paling jauh dalam hidup kita bukan bulan, bukan jua matahari tetapi masa yang telah berlalu'. Zaman kanak-kanak telah ditinggalkan, begitu juga dengan zaman remaja, zaman bujang juga sudah menjadi kenangan. Tak kala usia sudah menjangkau suku abad, terasa tanggung jawab semakin banyak tapi.... Atas kelemahan diri ini, saya sering tewas dengan kepantasan masa yang tidak akan sekali-kali berhenti untuk menunggu.


Sikap sebahagian dari kita yang suka menangguhkan sesuatu pekerjaan hingga ke saat akhir bukan lah satu sikap yang baik. Berapa ramai orang yang telah mengalami kerugian dalam hidup mereka..Mungkin kita cukup berhati-hati dalam urusan yang melibatkan kewangan kita malahan seringgit yang dikeluarkan untuk menderma pun acap kali di ambil kira, takut-takut kita mengalami kerugian. Tetapi jarang betul kita terfikir, sudah berapa banyak kerugian yang kita alami akibat daripada sikap kita yang suka membuang masa...

Masa yang ada tidak digunakan untuk sesuatu yang bermanfaat..mungkin ramai yang menjangkakan akan mendapat peluang hidup yang lama..kalau baru umur 25 tahun..bila dicongak masih ada baki untuk hidup paling minima 38 tahun. Itu pun mengambil kira umur kewafatan Nabi Muhammad s.a.w pada usia 63 tahun.. Ada jugak yang lebih seronok apabila ditukarkan 38 tahun itu kepada bulan, jam dan minit malah saat.. Saya cuba tolong untuk kirakan (38 tahun = 456 bulan = 328,320 jam = 19,699,200 minit= 1,181,952,000 saat). Emm.. masih ada berbilion saat..lama lagi hidup tu..jadi boleh la kita bersantai dulu......tapi..sedangkan manusia itu sama sekali tidak dapat meramalkan urusan ajal maut, jodoh pertemuan dan juga soal rezekinya..Hebatnya kita apabila sudah mula pandai menetapkan bila masanya untuk kembali ke Rahmatullah..

Memang ramai antara kita yang tertipu..cukup la sekadar itu..renungi lah Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Asr yang membawa maksud : 'Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran.'. Hanya untuk peringatan diri sendiri...

Template by:
Free Blog Templates