Thursday, December 17, 2009

Bangkitlah Dari Lena...


Agak lama jari jemari ini tidak mampu untuk mengatur rentak menekan papan kekunci komputer untuk mengisi ruangan artikel blog yang serba kekurangan ni. Walhal, hampir setiap hari berada di depan komputer. Mungkin disebabkan lebih suka membaca dan menganalisis artikel orang lain, tidak ada idea, malas, takut tersilap fakta, bimbang tulisan dan percakapan tidak seiring dengan tindakan dan banyak lagi kemungkinan yang bersarang di benak pemikiran.

Apapun saya bersetuju dengan kata-kata zaujah saya, kita ni menulis mestilah dengan hati yang bersih, baru la tulisan kita membawa makna. Selain tu, nak menulis sesuatu yang bermanfaat ni memerlukan kita banyak membaca (saya masih mencari mood untuk lebih banyak membaca, yang menjadi masalah sekarang, diri ni lebih suka bercakap, sekadar peringatan, jangan paksa orang yang tidak suka bercakap untuk bercakap kerana mungkin kita akan berasa kecewa, penyelesaiannya cuba perlahan-lahan, InsyaAllah boleh diterima). Sebagai contoh mana mungkin kita dapat menghasilkan assignment atau tesis yang baik sekiranya tidak merujuk kepada bahan bacaan yang banyak.

'Bangkitlah Dari Lena", Apakah yang kita faham tentang lena ? Mungkin sekali pandang, fikiran kita akan terus memberi terjemahan bangun dari tidur. Betul, memang itu merupakan salah satu daripada jawapannya dan ramai juga antara kita yang suka tidur melayan mimpi-mimpi indah dan kadang kalanya menakutkan yang tidak berkesudahan. Tetapi dalam artikel kali ini, saya ingin membawa diri sendiri dan pembaca supaya memahami tugas dan tanggungjawab seterusnya mampu menyentak diri kita supaya bingkas bangun dari lena yang panjang. Sekadar berkongsi pengalaman.....

16/12/2009: Seusai solat Subuh, saya bersama zaujah memulakan perjalanan ke Utara Tanah Air dari Ipoh. Hari dan cuaca yang baik, menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan dan bertenaga. Pedal minyak yang ditekan kadang kala menyebabkan meter had laju kereta mencecah 130-140 km/jam. Bila dilihat had pemanduan hanya sekitar 110 km/jam di lebuh raya, hati mula berdetik,..silap-silap hari bulan kena saman ni...(jangan lakukan perkara yang berbahaya seperti ini)

Tapi apa nak buat, mesyuarat di Pejabat LGM Sg. Petani bermula jam 10.00 pagi. Dalam perancangan nak kena singgah di Pulau Pinang dulu. Bila sebut Pulau Pinang, dalam kepala mula terbayang akan terkandas dalam kesesakan di atas jambatan Pulau Pinang. Jadi nak tak nak, pemanduan perlu ditingkatkan kelajuannya supaya dapat sampai mengikut masa yang ditetapkan. Sekitar satu jam setengah kemudian bayangan plaza tol jambatan Pulau Pinang mula kelihatan (biasanya sampai dalam dua jam lebih). Sungguh jelas laluan Touch n Go yang agak lengang.

'Alhamdulillah, perjalananku dipermudahkan oleh Allah s.w.t', terdetik dalam hati kecilku ini. Teringat kata-kata pakar motivasi yang menyatakan bahawa 99% perkara negatif yang kita selalu fikirkan kemungkinan besar tidak akan berlaku. Nah..kenapa kita masih sentiasa memikirkan perkara negatif dalam hidup kita. Apa yang kita dapat hanyalah keserabutan dan kerisauan yang tidak membawa sebarang keuntungan.

Setelah menghantar zaujah di Pulau Pinang. Saya meneruskan perjalanan ke Sg. Petani. Alhamdulillah perjalanan semakin lancar dan masih sempat untuk berhenti mengisi perut dengan sepotong roti dan sebotol air mineral di Stesen Minyak Petronas Sg. Petani sebelum tiba di tempat mesyuarat sekitar jam 9.40 pagi. Pekerjaan saya yang memerlukan kepada kerja luar (mesyuarat, seminar, kursus dan lawatan ke lokasi projek) yang banyak dan hampir setiap minggu ini memerlukan saya merancang masa yang baik kerana perjalanan yang ditempuh ini kadang kala kalanya bukan hanya melibatkan perjalanan yang dekat bahkan merentas ke beberapa negeri dalam satu hari. Ada ketikanya dibawa oleh pemandu pejabat dan banyak juga masanya terpaksa memandu sendiri, kadang kala kemudahan kapal terbang terpaksa digunakan untuk menjimatkan masa dan tenaga.

Mesyuarat masih berbaki sekitar 30 minit, telefon bimbit yang sedari awal saya letakkan dalam mood 'senyap' mula bergetar di dalam poket seluar. Pada awalnya, panggilan tersebut tidak dihiraukan kerana saya perlu fokus dalam mesyuarat tetapi memandangkan si pemanggil berusaha untuk meminta saya mengangkat telefon bimbit, lantas poket seluar diseluk untuk mengeluarkan telefon bimbitku yang telah berusia dua tahun lebih (setakat ini hanya pernah pakai dua telefon bimbit) untuk memerhatikan paparan nama di skrin telefon bimbit.



Jelas terpampang nama sahabat seperjuangan di Ipoh yang juga merupakan pimpinan tertinggi persatuan Islam di salah sebuah pusat pengajian semasa kami masih belajar di universiti dulu. Saya masih mengambil keputusan untuk tidak menjawab panggilan tersebut sehingga berhenti getaran telefon bimbit tersebut. Saya mengambil keputusan, menghantar sms kepada sahabat saya bagi menyatakan situasi saya yang sedang bermseyuarat. SMS yang dihantar tidak berbalas. Pada pemikiran saya, sahabat saya cuba memahami situasi yang sedang saya alami dan mungkin perkara yang ingin disampaikan itu tidak penting.

Saya meneruskan mesyuarat dan selepas menunaikan solat jama' & qasar Zohor dan Asar, agenda diteruskan dengan lawatan ke kilang baja di Gurun, Kedah. Setelah memulakan pemanduan dan perjalanan bersama beberapa orang kakitangan, sekali lagi telefon bimbit saya bergetar menandakan ada pemanggil yang masuk. Saya tidak mengangkat panggilan tersebut kerana saya terlupa nak pakai 'hands free' tambahan pula perjalanan yang ingin saya tujui adalah perjalanan yang saya sendiri tidak tahu arahnya dan terpaksa fokus untuk mengikuti kenderaan kakitangan lain dihadapan.

Setelah lawatan selesai, saya mengambil keputusan untuk menelefon sahabat saya yang sudah dua kali cuba mendapatkan balasan jawapan saya. Pada awalnya, saya berasa agak pelik kerana kenapa sahabat saya tidak boleh menghantar sms sahaja bagi menyatakan sebarang perkara. Isu ini terjawab apabila panggilan telefon saya berbalas. Ucapan kemaafan disampaikan terlebih dahulu atas kegagalan menjawab panggilan telefon darinya atas kekangan masa yang ada. Tanpa berlengah saya ajukan pertanyaan tentang apa yang sebenarnya ingin dibincangkan.

Dengan nada yang lemah lembut dan berbudi bahasa sahabat saya menyatakan bahawa keputusan mesyuarat telah memutuskan bahawa saya dilantik sebagai penasihat bahagian dakwah dalam sebuah persatuan di pusat pengajian tinggi. Terus terbayang di benak pemikiran tentang 2,3 lagi jawatan lain di luar bidang pekerjaan yang terpaksa saya pikul dan masih mencari rentak melaksanakannya. Belum selesai rentak bertukar menjadi irama yang merdu, satu lagi rentak baru mula mengisi ruang irama tugas dan tanggung jawab yang terpaksa dipikul. Terbayang di fikiran tentang mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti yang akan bertambah...

Keputusan yang diberi oleh sahabat saya disertakan dengan pertanyaan persetujuan menerima atau tidak jawatan tersebut. Pada awalnya, disebabkan kelemahan diri yang ada, saya mula menyatakan situasi sebenar yang saya lalui dan agak bimbang dengan komitmen yang dituntut tambahan pula jawatan tersebut bagi saya amatlah besar bagi diri yang serba kekurangan. Bila disebut perkataan 'dakwah', secara jelasnya ia berperanan untuk mengajak dan membawa manusia untuk melaksanakan seluruh perintah Allah s.w.t dan pada masa yang sama terus meninggalkan laranganNya. Bagaikan menerima kejutan elektrik, 'Ah, bagaimana diriku, adakah aku mampu untuk melaksanakan amanah yang diberi sedangkan aku pun tidak sebaik mana'. Keberatan untuk saya menerima jawatan tersebut dapat dihidu oleh sahabat seperjuangan. Namun kata-katanya yang cuba mengimbau semula tugas dan tanggungjawab yang pernah saya pikul semasa di alam pengajian suatu ketika dahulu mula menyentak nafsu dan keinginan dunia yang mungkin ada dalam diri ini.

Setelah diberikan penjelasan lanjut tentang penyertaan beberapa sahabat lain dalam menjalankan kerja Islam ini. Hati mula berbunga dan bersemangat untuk cuba memberikan sumbangan sebaik mungkin. Diri mula terasa tidak keseorangan dalam memikul beban tanggungjawab. Ah..alangkah manisnya hidup berjemaah. Mungkin ini merupakan salah satu cara saya menerima tarbiyyah. Seolah-olah ada satu kata-kata yang cukup kuat menerjah gegendang telinga saya seraya menyatakan, 'Bangkitlah dari lenamu yang panjang'..Fikirkanlah tentang berapa banyak masa yang kita habiskan begitu sahaja tanpa memberi sumbangan terhadap perjuangan menegakkan agama Allah s.w.t..Sahabat-sahabat, sekiranya diharapkan dan disandarkan hanya kepada amalan fardhu yang kita lakukan setiap hari, saya rasakan masih belum cukup untuk kita berhak mengharap kasih sayang dan syurga Allah s.w.t.

Amalan sunat yang jugak tidak istoqamah kita laksanakan turut menjadi batu penghalang ke arah cita-cita kita mengecapi setiap ganjaran yang Allah s.w.t sediakan. Jadi, diharapkan dengan usaha dan sumbangan kecil ini, mendapat perhatian oleh Allah s.w.t dalam usaha menuju syurgaNya. Sekiranya saya mampu memberikan markah dan penilaian kepada kakitangan di pejabat pada setiap hujung tahun, begitu juga dengan saya dinilai oleh Pegawai Atasan hanya untuk memilih pekerja yang layak diberikan Anugerah Pekerja Cemerlang pada setiap tahun. Bagaimana pula penilaian Allah terhadap diri yang amat lemah ini ?. Apakah sudah terlaksana tanggungjawab saya terhadap agama Islam, ibu bapa, ibu bapa mertua, isteri, adik beradik, saudara mara dan masyarakat keseluruhannya ?.

Keputusan yang diambil sebentar tadi cukup melegakan jiwa dan perasaan. Teringat akan Firman Allah s.w.t dalam ayat suci Al-Quran Al-Karim yang membawa maksud, 'Sesungguhnnya kamu tidak akan dibebani dengan sesuatu perkara yang kamu tidak mampu lakukan, dan di sisiNya ada kitab yang hak, sesungguhnya kamu tidak dizalimi'. Jam menujukkan sekitar jam 6.00 petang semasa saya kembali semula ke Pejabat LGM Sg. Petani seusai kembali dari lawatan ke kilang baja. Badan mula berasa penat dan memerlukan rehat. Nama Hotel El-Zahraa Inn, Sg. Petani, Kedah (Hotel di bawah Syarikat HPA) mula dicari di ruangan carian nama dalam telefon bimbit. Butang panggilan ditekan apabila nama hotel tersebut muncul di skrin telefon bimbit.

'Assalamu'alaikum, El-Zahraa Inn, Sg. Petani, boleh saya bantu ?', jelas kedengaran suara kakitangan yang bertugas di hotel tersebut.

'Waalaikum salam, boleh saya tahu, malam ni ada lagi tak bilik kosong ?', jawab saya kembali seraya menghantar semula soalan yang mengharapkan jawapan yang bakal menyenangkan hati.

'Ok, nanti saya semak sistem dalam komputer,' jawab kakitangan tersebut.

Setelah menunggu seketika, berikut adalah jawapan darinya.

'Maaf encik, untuk malam ni bilik semua dah penuh'..

Hati yang mulanya berbunga, kembali suram seketika.

'Satu bilik pun tak de ke ?', soal saya kembali seolah-olah tidak memahami penyataan awal kakitangan hotel tersebut, saya bukan marah tetapi cuma inginkan lebih kepastian (sekadar peringatan, janganlah cepat marah apabila kita diajukan soalan yang sama berulang kali oleh seseorang, latih diri untuk menjadi orang yang penyabar).

'Ya encik, untuk malam ni, semua bilik dah penuh, maaf ', jawab kakitangan tersebut dengan bersopan. Kekecewaan yang bersarang kembali terubat dengan jawapan yang penuh dengan kelembutan dan kesopanan. Justeru latihlah diri kita untuk berkomunikasi dengan lebih baik, usah biarkan diri kita terus menjadi seorang yang takut untuk didekati dan juga sukar untuk diajak berbicara oleh orang lain.

'Ok la, terima kasih...Assalamu'alaikum', jawab saya kembali bagi mengakhiri perbualan.

Saya tidak cuba untuk menelefon hotel lain di Sg. Petani kerana saya lebih berminat untuk menginap di hotel ini yang mula dibuka dalam bulan Ogos yang lalu. Saya suka menginap di sini kerana konsep Islamik yang diterapkan dalam hotel ini. Antaranya kemudahan peralatan untuk menunaikan solat dan persendirian yang lengkap, kakitangan hotel yang bersopan dan menutup aurat, lagu nasyid dan bacaan ayat suci Al-Quran Al-Karim diperdengarkan sebagai lagu dan bacaan rasmi di hotel, azan yang dikumandangkan pada setiap waktu, kemudahan untuk menjamu selera dan juga khidmat untuk dikejutkan menunaikan ibadah malam (qiamulail). Seingat saya sudah 2 kali saya menginap di hotel ini iaitu semasa awal pembukaannya pada bulan Ogos dan semasa awal bulan Ramdahan yang lalu.

Memandangkan bilik sudah penuh, saya mengambil keputusan untuk terus pulang ke Ipoh. Walaupun badan sudah semakin penat dan mata juga semakin berat, perjalanan terpaksa saya teruskan juga. Setelah berhenti solat, menjamu selera dan berehat sebentar di Hentian RnR Gunung Semanggol, Perak. Saya meneruskan perjalanan ke Ipoh dan tiba di rumah sekitar jam 9.30 malam. Perjalananan melebihi 12 jam pada 16 Disember 2009 telah berjaya saya sempurnakan dengan baik, Alhamdulillah. Malam ini (17 Disember 2009) akan bermula tugas saya sebagai penasihat bahagian dakwah dengan adanya mesyuarat yang pertama. Diharap segalanya berjalan dengan lancar..

Justeru, 'Bangkitlah Kita Dari Lena' yang panjang kerana tanggungjawab yang terpaksa kita pikul sebenarnya amat berat. Tulisan dan perkataan ada kalanya amat senang untuk dicoret dan dihamburkan tetapi pelaksanaanya kadang kala amat sukar sekiranya akidah kita masih belum jelas. Yang penting, jangan kita bersangka buruk dan mula membenci perlakuan seseorang yang pada pemerhatian kita tidak mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t dengan cara menjauhi diri daripada mereka tetapi berusahalah untuk semakin mendekati dan merapati agar ilmu pengetahuan yang kita miliki dapat dikongsi bersama. Jangan juga merasakan diri kita terbaik berbanding orang lain sedangkan kita sendiri tidak mengetahui bagaimana penilaian Allah s.w.t terhadap diri kita. "Allah s.w.t mengikut sangkaan hambaNya'. Maka sentiasa la bersangka baik..Sekadar berkongsi sedikit catatan peribadi..moga dijauhkan dari sifat yang terkeji..

Template by:
Free Blog Templates