Thursday, November 19, 2009

Siapakah Kita?


Siapakah kita?? siapa... yaa..??

Siapakah orang yang sombong?

Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?

Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dunggu kepala otaknya?

Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang kuat?

Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?

Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?

Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s. a. w.

Siapakah orang yang buta?

Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?

Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?

Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a. s.

Siapakah orang yang manis senyumanya?

Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini",sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?

Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yang kaya?

Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?

Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang pandai?

Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi

Siapakah orang yang bodoh?

Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?

Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?

Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?

Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?

Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?

Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik?

Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?

Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?

Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?

Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Sumber : Anonim

Wednesday, November 18, 2009

Generasi Rabbani Berkualiti


Sepetang bersama anak-anak pelajar PASTI Kawasan Ipoh Timur baru-baru ini mula membangkitkan memori indah ketika di beri peluang mendapat pendidikan awal di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Maran hampir 18 tahun yang lalu.

Suasana pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa disulami dengan alunan zikir dan doa begitu bermakna dalam mendidik hati-hati kecil yang masih bersih daripada palitan dosa dan noda. Sejuk mata memandang wajah comel anak-anak kecil yang masih belum wajib ke atas mereka untuk menutup aurat telah mula dibiasakan dengan pakaian yang mengikut syariat tak kala kanak-kanak lain tidak diberikan penekanan dari segi aspek pakaian yang menutup aurat ini.


Perkongsian yang diberikan oleh Pengarah PASTI Kawasan dalam Majlis Ihtifal PASTI Kawasan Ipoh Timur dalam ucapan aluannya pada kali ini amat memberi makna kepada diri dan jemputan yang hadir. Manakan tidak anak kecil yang belum tahu selok belok rumahtangga boleh memberikan kesedaran kepada ibu bapanya yang mengalami masalah rumah tangga hanya dengan mengulas salah satu hadis yang dihafalnya daripada silibus pelajaran di PASTI.

Si anak kecil yang mungkin sudah tidak tahan dengan perbalahan yang sering terjadi antara ibu bapanya bertindak mengaplikasikan apa yang dipelarinya semasa di PASTI. 'Ibu, bukankah orang yang beriman itu bersaudara, kenapa ibu perlu sentiasa bergaduh dengan ayah,' lembut suara si anak tak kala cuba mencari jawapan terhadap perkara yang terjadi antara ibu bapanya. Tersentak si ibu mendengar luahan hati si anak. Tanpa diminta mengalir air mata si ibu tanda mula menginsafi diri dan menyedari akan kata-kata si anak ini.

Semua ibu bapa mengharapkan anaknya menjadi orang yang berguna pada masa yang akan datang. Mereka mengharapkan si anak bakal mendapat pekerjaan dan kehidupan yang baik dan apa yang lebih penting anak-anak ini menjadi anak yang soleh dan solehah. Anak yang soleh dan solehah inilah yang akan membahagiakan kehidupan ibu bapa bukan hanya di dunia malahan sehingga ke alam akhirat.

'Fantasi tidak sama dengan realiti', sekiranya hanya ada keinginan untuk menuju ke arah kebaikan tetapi pada masa yang sama masih lagi memilih jalan songsang dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak sedari awal, manakan mampu menzahirkan fantasi atau mimpi menjadi realiti. Pendidikan anak perlu bermula sedari awal sejak dalam kandungan lagi bagi memastikan anak yang berjaya membuat kerdipan mata pertama tika lahir ke dunia ini bakal menjadi "Generasi Rabbani Berkualiti"...Sama-sama kita realisasikannya....

Monday, November 9, 2009

Hulurkan Tangan Ringankan Bebanan..


'Antara perkara yang dapat memudahkan urusan kita semasa dihisab di alam akhirat nanti adalah dengan kemurahan hati kita menyantuni golongan anak yatim', begitulah antara kata-kata yang keluar dari mulut seorang ustaz yang buat kali keduanya saya temui di Temerloh, Pahang. Tazkirah yang disampaikan oleh ustaz ini seusai solat tarawikh di Surau Taman Temerloh Makmur baru-baru ini, saya lihat begitu bersemangat dan bertenaga ditambah pula dengan jemaah yang khusyuk mendengar.

Tazkirah yang kadang kalanya sering terganggu dengan letupan mercun daripada si pemain mercun mengundang rasa marah Al-Fadhil Ustaz. Teguran yang dibuat oleh pihak surau nampak gayanya bagai 'mencurah air ke daun keladi' al maklumlah raya tinggal sehari dua lagi, maka kegembiraan diri mesti diraikan walaupun kadang kalanya menyebabkan rasa marah dan mengganggu ketenteraman orang yang lain. "Emm..macam tu la budak-budak, bukan makan ditegur, aa..makin ditegur..makin menjadi-jadi pulak diorang tu", terasa berat benar keluhan seorang ahli jemaah yang agaknya sudah lali dengan perangai budak-budak tersebut. Siapa yang harus dipersalahkan, individu tersebut, keluarga atau pihak berkuasa..Fikirlah sendiri.


Tazkirah disambung, 'Saya nak tanya, berapa ramai antara kita yang bila jumpa dengan anak-anak yatim tak kira di stesen minyak, di kedai makan atau di mana-mana pun yang datang berjumpa dengan kita dok bawak barang-barang untuk dijual sebagai kutipan amal, kita terus melayan depa dengan baik dan lebih baik ada tak antara kita yang terus keluarkan duit tanpa menyoal panjang untuk diserahkan pada kanak-kanak tersebut', soal Al-Fadhil Ustaz untuk mendapatkan kepastian.


Mungkin malu nak mengaku atau memang tak buat. Tepuk dada tanya iman. Peluang dan kesempatan masa yang ada di depan mata kita sering kita lepaskan tanpa banyak berfikir. Dalam hal ini, kita tahu bahawa dengan menyantuni golongan anak yatim, perjalanan kita semasa dihisab akan menjadi lebih mudah tetapi kita sering mengabaikannya. Dalam diri kita sarat dengan syak wasangka yang buruk terhadap golongan ini. Ada yang berfikir, 'Betul ke depa ni anak yatim, tah-tah sindiket ni, membazir je duit aku', malah ada yang lebih teruk terus mengherdik golongan ini dengan kata-kata yang pedih seperti ,'Hangpa ni tak de kerja lain ke, asyik dok memeras duit orang je, tak malu ke?'.


Berapa la sangat yang kita terpaksa habiskan untuk diberi kepada anak-anak atau adik-adik ini, hanya RM5 -RM 10 sahaja. Adakah dengan jumlah sebanyak itu menyebabkan kita terus menjadi papa kedana. Paling kurang pun kuntumlah senyuman kepada mereka andaikata memang tak berduit, jangan menjauhkan diri kerana ada perasaan benci di hati.. Sedarlah wahai insan, sesungguhnya Allah s.w.t akan memudahkan jalan kehidupan orang yang suka memudahkan jalan kehidupan orang yang lain.


Justeru, saya mengingatkan kita semua untuk sentiasa mengamalkan sikap pemurah agar kita tergolong dalam golongan hambaNya yang sentiasa mendapat kasih sayang dan rahmat daripada Allah s.w.t..Gunalah peluang yang ada di depan mata sebaiknya kerana kalau nak diharapkan kita mencari golongan ini di rumah anak yatim, nampak gayanya sampai beruban atau sampai 'tutup mata' pun tak pasti menjadi kenyataan atau tidak.

Friday, November 6, 2009

Antara Tanggungjawab & Keinginan

(Dr.Yusof Al Qardawi)


“Dan (ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadi orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikanMu?” Dia berfirman, “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. ” (al-Baqarah: 30 )

Kebanyakkan daripada kita sudah biasa mendengar potongan ayat Al-Quran Al-Karim seperti di atas tidak kira melalui pengajian di masjid atau surau serta semasa berada di alam pengajian. Amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t ini sangat besar dan berat. Perkara ini merupakan suatu tanggungjawab sosial atau fardhu kifayah yang perlu dilaksanakan bagi menjamin kehidupan yang harmoni, aman dan adil. Justeru, apakah peranan kita selaku khalifah di muka bumi ini?Perlu di ingat bahawa penciptaan manusia bukan suatu perkara yang main-main sebagaimana Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (al-Mukminun: 115)

Sebaliknya Allah sedari awal telah mengingatkan kepada kita bahawa setiap perbuatan kita akan disoal dan diminta pertanggungjawaban.

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (al-Isra’: 36)

Sebagai menerima amanah yang cukup berat daripada Pencipta Yang Maha Agong ini sudah tentu memerlukan kita melaksanakan tugas yang tersendiri. Tugas kita adalah menyeru manusia melakukan perkara yang ma'ruf (kebajikan) dan pada masa yang sama menegah manusia daripada melakukan perkara yang mungkar (kejahatan) dan beriman kepada Allah s.w.t. Ramai daripada kita terleka dan terlalai dalam melaksanakan tanggungjawab ini sama ada secara sedar atau tidak sedar. Hal ini kerana naluri jiwa manusia sememangnya menginginkan keseronokan dan kebahagian yang berpanjangan. Tidak salah untuk mendapatkan keseronokan dan kebahagiaan tetapi janganlah keseronokan dan kebahagiaan itu menghalang kita untuk melaksanakan tugas yang telah di amanahkan oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t yang membawa maksud : 'Hidup di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan dan permainan. Sesungguhnya kampung akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya. Jika mereka mengetahui. (Surah Al-Ankabut : 64).


Jalan da'wah yang kita warisi daripada Rasulullah s.a.w sememangnya tidak menjanjikan jalan mudah seperti jalan yang dihampari dengan permaidani merah bahkan jalan yang dilalui ini penuh dengan onak dan duri serta penuh dengan mehnah dan tribulasi. Bagi mereka yang sentiasa mengharapkan masa yang lama untuk bersama suami, isteri dan anak-anak serta jaminan pekerjaan tanpa diganggu gugat sudah tentu merasakan sedikit gusar apabila diminta untuk sama-sama terlibat dalam gerakan da'wah ini.

Kerap kali saya terdengar dan menerima rintihan daripada sahabat yang ketika dahulunya seorang yang cukup lantang dalam usaha da'wah di alam pengajian akhirnya memberikan alasan-alasan yang amat mendukacitakan apabila diminta untuk turut sama bergerak kerja di luar. Antara alasan yang diberikan, "Minta maaflah ya akhi, ana belum layak lagi, carilah orang lain.", "Ana sekarang sibuk dengan tugas di tempat kerja ana, beri ana masa dua tiga tahun lagi untuk ana betul-betul stabil", "Ana sekarang dah tak boleh buat kerja kat luar lama-lama, bimbang tentang keselamatan isteri dan anak-anak", "Ana pening kepala hari ni, tak dapat pergi mesyuarat", "Tempat program tu kat bandar ke dalam hutan, kalau tempat elok, ana pergi kerana nak bawa anak kecil", "Ana rasa tak serasi bergerak kerja dengan entum", "Ana belum kerja lagi, nantilah bila dah kerja nanti, InsyaAllah ana join entum","Ana takut la nak join, nanti bos tahu, habis hilang kerja", dan pelbagai lagi alasan yang ditimbulkan hanya untuk mengelakkan diri daripada diberikan tanggungjawab melaksanakan gerak kerja da'wah ini. Alasan yang dianggap remeh dibimbangi akan menyebabkan kita terlepas daripada disenarai pendek oleh Allah s.w.t sebagai pejuang agamaNya.

Firman Allah s.w.t :


Katakanlah: Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (QS. 9:24)


Sahabat-sahabat yang sudah diberi kefahaman, mohonlah kepada Allah s.w.t agar hati kita sentiasa terikat dengan kasih sayang Allah s.w.t dan akan terus dipilih untuk berada dalam jalan yang cukup mulia ini kerana tidak semua orang mampu untuk mengharungi ujian dan cabaran ini. Ramai yang pada awalnya cukup bersemangat melaksanakan gerak kerja da'wah tetapi setelah berada pada fasa yang berlainan (belum berkahwin - berkahwin - mempunyai cahaya mata) dengan ditambah cabaran-cabaran yang mendatang, semangat yang dibina tanpa asas kefahaman yang jelas mampu mengheret diri menjauhi perjuangan yang mulia ini. Bantulah agama Allah s.w.t mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing, itu lebih baik daripada hanya memeningkan kepala mencari alasan untuk tidak terlibat dalam perjuangan.

Ingin diingatkan juga bahawa suasana gerak kerja di luar adalah tidak sama dengan suasana gerak kerja semasa di alam pengajian. Teringat kata-kata seorang aktivitis Islam, suasana gerak kerja di alam pengajian adalah suasana yang cukup homogenous. Ahli sentiasa cuba untuk mengikut dan memenuhi arahan daripada pimpinan. Manakan tidak, kehidupan yang berkelompok atau hanya dikelilingi oleh rakan-rakan yang sefikrah kadangkala menyebabkan mereka yang teringin untuk mengingkari arahan si pimpinan akan terasa malu dan juga mungkin keterlibatan mereka dalam gerak kerja bukan dibawa bersama hati yang suci bersih tetapi hanya sekadar ingin mengelakkan diri daripada tersisih ataupun mungkin ada 'udang disebalik batu' misalnya keterlibatan hanya untuk mencari pasangan hidup.


Suasana di luar sememangnya berbeza. Ada antara kita yang tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji yang lumayan. Dengan adanya gaji yang lumayan dan kehidupan selesa serta ditambah pula dengan tiadanya arahan-arahan rasmi daripada pimpinan di luar yang wajib diikuti, mampu menyebabkan mereka yang tidak cuba memaksa diri untuk terlibat dengan gerakan da'wah hanyut sedikit demi sedikit. Malah yang lebih malang, semua imej dan personaliti muslim/muslimah yang cukup dijaga rapi ketika di alam pengajian turut mula dilepaskan satu persatu. Bila ditegur, mula mencari alasan untuk menyesuaikan imej dengan pekerjaan yang diceburi dan agak malang juga dengan imej barunya itu menyebabkan keinginannya untuk kembali terlibat dalam gerakan da'wah semakin pudar. Siapakah yang rugi dalam situasi ini? Tepuk dada,tanyalah iman.


Justeru marilah sama-sama kita mengorak langkah dengan membersihkan hati dan diri kita serta membetulkan niat untuk sama-sama menginfakkan diri untuk bergerak kerja melaksanakan segala tuntutan kita selaku khalifah dimuka bumi ini. Sesungguhya yakinlah bahawa Allah s.w.t telah menjanjikan pertolongan kepada hambaNya yang menolong agamaNya sebagaimana FirmanNya yang membawa maksud : "Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang menolong agama Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan menolong dan menetapkan tapak pendirian mereka'. Usah bimbang kewangan berkurangan, usah bimbang hubungan keluarga menjadi renggang bahkan bersyukurlah sekiranya kita menjadi semakin bahagia dalam melaksanakan tugas ini. Apa yang penting, bina kefahaman bersama, sekiranya telah berumahtangga, berkomunikasilah sebaiknya antara pasangan dan fahamilah tanggungjawab masing-masing, InsyaAllah jalan yang akan ditempuhi pada masa yang akan datang akan lebih mudah dan teratur.


Sebagai konklusinya, saya menulis dan bercakap bukan disebabkan saya yang terbaik (jauh sekali) kerana mungkin saya belum diuji (Ya Allah, janganlah Kau uji aku dengan sesuatu yang aku tidak mampu menghadapinya) dan bukan juga berniat untuk menyindir sesiapun tetapi hanya sebagai peringatan kepada diri sendiri serta diharapkan dapat diambil ikitibar oleh orang yang lain, tidak banyak pun sedikit....

Tuesday, November 3, 2009

Untukmu Sahabat...


Sahabatku………

seberat apapun masalahmu

sekelam apapun beban hidupmu

jangan pernah berlari darinya

ataupun bersembunyi

agar kau tak akan bertemu dengannya

atau agar kau bisa menghindar darinya


Kerana sahabat…..

seberapa jauhpun kau berlari

dan sedalam manapun kau bersembunyi

dia pasti akan menemuimu

dalam sebuah episod kehidupanmu


Sahabatku……

alangkah indahnya bila kau temui ia dengan dada yang lapang

persilakan ia masuk dalam bersihnya rumah hati

dan mengilapkan lantai nuranimu

hadapi ia dengan senyum seterang mentari pagi

ajak ia untuk menikmati hangatnya teh kesabaran

ditambah sedikit penganan keteguhan



Sahabatku…….

dengan begitu sepulangnya ia dari rumahmu

akan kau dapati dirimu menjadi sosok yang tegar

dalam semua keadaan

dan kau pun akan mampu dan lebih berani

untuk melewati lagi deraan kehidupan


Dan yakinlah sahabat……..

kaupun akan semakin bisa bertahan

kala badai cobaan itu menghantam


sumber : Anonim

Template by:
Free Blog Templates