Friday, October 30, 2009

Mengatasi Tekanan Kerja


Setiap daripada kita mempunyai pengalaman berhadapan dengan tekanan kerja. Yang membezakan hanyalah bentuk tekanan yang dihadapi bergantung kepada jenis pekerjaan yang kita lakukan. Ada antara kita tertekan bila terpaksa melaksanakan tugasan kerja di pejabat yang tidak pernah surut, ada yang tertekan dengan kesibukan menyiapkan assignment & menelaah pelajaran untuk peperiksaan, ada juga yang tertekan menguruskan rumah tangga dan sebagainya.

Tekanan yang tidak dikawal dengan baik mampu menyebabkan seseorang berada dalam keadaan murung dan akan menyebabkan produktiviti kerjanya menurun. Selain itu orang yang berada dalam keadaan tertekan juga akan berubah menjadi seorang yang panas baran dan boleh memberikan impak yang negatif kepada mereka yang berada di sekitar dirinya.

Bagaimana caranya hendak mengawal tekanan? Salah satu caranya adalah kita mesti menghargai apa yang kita lakukan. Jadikan setiap perkara yang kita lakukan itu sebagai perkara yang menyeronokkan kerana kita perlu tahu bahawa setiap amalan dan pekerjaan yang kita lakukan dengan niat kerana Allah s.w.t, maka amalan itu dianggap sebagai ibadah. Selain, suasana tempat kerja yang selesa dan selamat yang dapat meningkatkan kecekapan mutu kerja dan keseronokan bekerja.

Kita juga perlu sentiasa memastikan diri sentiasa dekat kepada Allah s.w.t dengan cara memperbanyakkan amal ibadah kepadaNya. Firman Allah s.w.t dalam ayat suci Al-Quran Al-Karim, "Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH S.W.T., Ingatlah! hanya dengan mengingati ALLAH S.W.T. Maka hati akan menjadi tenang". (Surah Ar-Ra'd Ayat 28).

Jangan jadikan alasan kita sibuk bekerja sehingga tidak sempat nak melaksanakan solat sunat sekalipun. Sekiranya kita dengan mudahnya dapat menghabiskan masa berjam-jam lamanya dengan kawan-kawan bersembang di kedai makan atau di pasaraya, apalah ruginya kita mengambil masa antara 5 - 10 minit semasa waktu kerja untuk mengabdikan diri kita kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan amalan sunat sebagai contoh Solat Sunat Dhuha. Rasulullah sendiri menjadikan solat sebagai masa rehatnya, justeru selaku umat yang mencintai Baginda seharusnya kita meneladani apa yang telah dilaksanakannya.

Selain fadhilat dan hikmah solat yang begitu banyak terhadap diri kita, diharapkan juga dengan amalan yang kita lakukan ini mampu memberikan contoh ikutan yang terbaik kepada orang yang berada di sekitar kita dalam usaha meluaskan kaedah 'Dakwah Bil Hal'. Yang perlu kita tahu, setiap manusia mempunyai naluri sukakan perkara yang baik. Walaupun pada awalnya apa yang kita lakukan itu dianggap sebagai suatu yang pelik tetapi lama kelamaan sekiranya dilaksanakan secara istiqamah, InsyaAllah akan membekas di hati sanubari mereka. Untuk mengelakkan tekanan juga, pastikan diri kita sentiasa istiqamah membaca dan memahami ayat suci Al-Quran Al-Karim serta amalkan solat malam yang kerap.

Di samping itu, cari lah kawan yang mampu memberikan contoh yang baik kepada diri kita. Tidak ketinggalan ingin dikongsi bersama adalah jadikan setiap tugasan yang kita terima itu sebagai satu cabaran yang positif kepada diri kita walau seberat mana pun ia. Elakkan daripada selalu mengeluh dan sentiasa memikirkan perkara negatif kerana ia sebenarnya tidak menguntungkan kita malahan hanya menyebabkan diri kita menjadi bertambah tertekan. Sentiasa bayangkan sesuatu yang kita buat akan mendatangkan hasil yang positif kepada diri kita, keluarga, masyarakat, dan agama Islam..InsyaAllah kita akan jadi lebih bersemangat dalam menerima dan menyelesaikan segala tugasan kita.

Sedikit kata-kata : 'Kawan yang baik tak pernah memaksa kawan baiknya untuk sentiasa berada di sisinya.Kawan yang baik tak pernah melarang kawan baiknya untuk berkawan dengan kawan yang baik. Kawan yang baik tak pernah cemburu jika kawan baiknya mempunyai ramai kawan baik, kerana kawan yang baik tahu apa yang paling baik untuk kawan baiknya'.

Monday, October 26, 2009

Bagaimana Kita Berkomunikasi?


Kadang-kala kita merasa kecewa dan terkadang pulak merasa berang apabila kata-kata kita seolah dipinggirkan atau tidak di ambil endah oleh individu yang sedang berkomunikasi dengan kita? Situasi ini menyebabkannya kita memilih jalan untuk berdiam diri atau lebih berat kita terus meninggalkan individu tersebut yang pada pandangan kita seorang yang sukar untuk berkomunikasi. Tindakan ini sebenarnya membawa kerugian kepada diri kita kerana mungkin individu yang kita tinggalkan itu mempunyai potensi yang besar untuk di bawa menghayati ajaran Islam atau mungkin juga mereka adalah golongan yang penting dalam menyumbang kepada kebaikan diri kita.

Seharusnya kita cuba nilai kembali diri sama ada telah melaksanakan kaedah komunikasi yang berkesan atau tidak. Setiap individu mempunyai personaliti yang berbeza. Ada individu yang apabila berkomunikasi, sudah terbiasa dengan nada yang agak tinggi tidak kira secara berdepan atau melalui alat telekomunikasi. Ada pula yang bercakap terlalu lemah lembut sampaikan individu yang berada tidak sampai satu meter di hadapannya pun terpaksa 'membaiki sistem pendengarannya secara spontan'. Malah ada juga yang sekadar memberikan respon melalui 'bahasa badan' sahaja dan lebih malang lagi apabila mereka tidak mahu langsung meraikan individu yang sedang berkomunikasi dengannya.

Bagi individu ini, mereka merasakan mereka tidak bersalah kerana memang itulah personaliti mereka dari dulu hinggalah sekarang. Pada perkiraan mereka, kenapa perlu ikut kehendak individu lain sedangkan kita sudah selesa dengan cara kita ?. Sekali lagi saya meminta kita semua untuk kembali berfikir, tidakkah kita merasa bahawa dengan tindakan ini mungkin menyebabkan kita tergolong dalam golongan individu yang berhadapan dengan masalah komunikasi yang tidak berkesan seterusnya menyebabkan kita sukar untuk di dekati. Persoalannya siapakah nanti yang akan rugi?Komunikasi yang tidak berkesan sekiranya tidak ditangani dengan segara di bimbangi boleh membawa impak yang negatif tidak kira dalam hubungan rumahtangga, sahabat handai, organisasi dan sebagainya.

Memberi taklimat sempena lawatan peserta International Rubber Research Development Board (IRRDB) dari Cameeron, Thailand dan Nigeria

Di samping itu, komunikasi juga merupakan asas dalam kehidupan seseorang manusia. Dalam sesebuah organisasi, komunikasi ibarat nadi yang menggerakkan fungsi pengurusan sesebuah organisasi. Komunikasi menjadi medum penyebaran maklumat daripada seorang manusia kepada manusia yang lain. Justeru, sistem pengurusan organisasi atau masyarakat akan tergendala tanpa komunikasi. Semakin berkesan sistem komunikasi di amalkan, semakin cekaplah pengurusan dan pentadbiran yang sesebuah organisasi tersebut. Sama ada komunikasi itu melalui saluran rasmi atau tidak rasmi, sistem komunikasi perlu melalui kaedah yang betul dengan etika yang baik untuk memastikan keberkesanannya.(1)

Sekadar mahu berkongsi pengalaman yang cetek, saya berkhidmat dan membuat penyelidikan dalam bahagian pengembangan dan pembangunan Lembaga Getah Malaysia. Tuntutan kerja ini membawa saya lebih memahami bagaimana caranya untuk kita berkomunikasi dengan masyarakat. Sebagai contoh, saya terpaksa menarik minat pekebun kecil getah untuk menggunakan teknologi yang telah dicipta oleh Lembaga Getah Malaysia tak lain dan tak bukan untuk meningkatkan hasil kebun dan pendapatan mereka. Justeru saya menggunakan beberapa kaedah seperti mengadakan taklimat di dewan/hotel, pergi ke rumah pekebun kecil getah, membawa mereka turut serta dalam lawatan sambil belajar. Melalui kaedah komunikasi ini, impaknya adalah pekebun kecil tersebut lebih mudah untuk menerima syor/cadangan kita. Perlu di ingat penyampaian maklumat yang tidak jelas bukan hanya menyebabkan masyarakat tidak mahu menerima produk yang kita syorkan bahkan juga mampu menyebabkan kita dijauhi oleh mereka.

Apa yang saya pelajari di sini adalah kita perlu memahami personaliti golongan sasaran kita. Kaedahnya mungkin berbeza antara komunikasi bos dengan pekerja, suami dengan isteri, guru dengan pelajar, anak dengan ibu bapa, tokoh politik dan lain-lain. Bagi kes pekebun kecil getah ini, saya perlu memahami jiwa golongan yang berusia yang kadang kalanya terlalu sensitif. Justeru penggunaan tutur kata dan gerak tubuh yang baik amat diperlukan untuk menjadikan komunikasi kita lebih berkesan. Mungkin timbul masalah juga apabila kita terpaksa berkomunikasi dengan mereka yang tidak 'sebahasa' dengan kita. Justeru apa tindakan kita? Cara mudahnya cuba belajar bahasa orang lain..Yang untungnya kita juga. Saya sertakan beberapa kaedah komunikasi untuk panduan kita bersama :

1) Semakan Ketepatan Fakta.
2) Pilih Maklumat Yang Sesuai Dengan Penerima Yang Sesuai.
3) Kekuatan Bahasa dan Kepetahan Berbicara.
4) Prinsip Hikmah Dalam Komunikasi.

Ulasan dan huraian lanjut boleh layari : http://ideologi.muamalat.net/.
(1) Ahmad Sufyan Che Abdullah.

Friday, October 23, 2009

Alhamdulillah..


Alhamdulillah... akhirnya dengan izin Allah s.w.t... berkat rahmat dan limpah kurniaNya, akhirnya blog saya dapat juga dibina. Dewasa ini, kewujudan blog amat banyak umpama 'Cendawan Tumbuh Selepas Hujan'.

Bermacam isu di tulis dalam blog, ada yang sekadar menceritakan pengalaman dan meluah perasaan, ada juga yang membincangkan berkaitan dakwah dan politik, mempromosi barangan jualan dan macam-macam lagi. Harus di ingat, penulisan juga mampu memberi kesan kepada emosi seseorang serta turut memainkan peranan yang besar sehingga mampu menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Janganlah hendaknya, tulisan kita itu nanti menyebabkan timbulnya bibit-bibit permusuhan sesama manusia bak kata pepatah 'Kerana Pulut Santan Binasa, Kerana Tulisan Jiwa Merana'.

Justeru, saya mengingatkan diri yang lemah ini supaya sentiasa menulis sesuatu yang asasnya mestilah berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah. Ingin ditegaskan di sini bahawa penulisan juga merupakan salah satu kaedah dakwah andainya ia berlandaskan kepada kehendak Allah dan RasulNya. Bukan semua orang mampu tampil ke depan dan petah berbicara untuk menarik umat manusia menghayati ajaran Islam. Maka kebolehan yang ada dalam bidang penulisan ini diharapkan dapat digunakan sebaiknya bagi menjana impak yang besar dalam usaha mencari redha Alllah s.w.t.

'Buah Cempedak Di Luar Pagar, Ada Galah Tolong Jolokkan, Saya Budak Baru Belajar, Kalau Salah Tolong Tunjukkan'
Siiru a'la barakatillah....

Template by:
Free Blog Templates